Tiga beradik berebut peranti jika PdPR serentak - Suhaini - Utusan Malaysia

Tiga beradik berebut peranti jika PdPR serentak – Suhaini

SUHAINI Harun (tengah) membantu anak kembarnya, Nur Sofiya Izzati Mohd. Sapawi (kanan) dan Nur Sofiya Izzah (kiri) menggunakan alat peranti ketika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PPdR) di Felda Tekam Utara di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: “Tiga orang anak saya berebut alat peranti ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PPdR) berlaku serentak,” kata ibu tunggal Suhaini Harun, 40-an di Felda Tekam Utara di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Suhaini berkata, dia tidak tahu hendak buat apa setiap kali anak-anaknya Muhammad Syazwan Haziq Mohd. Sapawi, 14, dan pasangan kembar, Nur Sofiya Izzati dan Nur Sofiya Izzah, masing-masing berusia 12 tahun yang mengalami masalah hiperaktif dan autisme (tidak boleh berkomunikasi) berebut alat peranti.

“Abang (Muhammad Syazwan Haziq) lebih banyak mengalah kepada kedua beradik kembar ini dan kerap tercicir PdPR sebelum ini.

“Saya kasihan melihat anak lelaki yang sulung ini tidak berkesempatan sepenuhnya menggunakan alat peranti dan hanya menggunakan buku teks serta kerja daripada bahan bercetak yang dibekalkan oleh guru,” katanya di Felda Tekam Utara di sini semalam.

Suhaini berkata, apabila pasangan kembar itu menggunakan bahan bercetak yang dibekalkan oleh guru Pendidikan Khas di Sekolah kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Dua, baharulah abangnya boleh menggunakan alat peranti ketika PdPR.

“Di Felda ini, talian internet tidak ada masalah dan tanpa gangguan pun sewaktu PPdR, tetapi, kebanyakan ibu bapa di sini yang saya tahu tidak mencukupi alat peranti khususnya bagi keluarga yang ramai anak belajar,” katanya.

Menurutnya, dia begitu berharap ihsan pihak kerajaan mahupun para penderma supaya menyumbangkan alat peranti untuk kemudahan anak-anaknya mengikuti PPdR yang dijadualkan mengikut takwim persekolahan mulai 14 Jun hingga 17 Julai ini.

“Saya amat berharap ada yang sudi membantu bagi membolehkan anak saya belajar dengan selesa lebih-lebij lagi pasangan kembar sangat teruja belajar menerusi PdPR walaupun mereka mempunyai masalah komunikasi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN