Tiada kenaikan harga, minyak masak bersubsidi cukup - Utusan Malaysia

Tiada kenaikan harga, minyak masak bersubsidi cukup

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberi jaminan bekalan minyak masak bersubsidi masih cukup dan menafikan berlaku kenaikan harga bahan keperluan itu.

Timbalan menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, produk itu di pasaran masih kekal dengan harga biasa, malah, tetap cukup serta tidak berlaku kenaikan seperti didakwa pihak tertentu.

“Tidak jadi isu dan pembeli dalam kalangan B40 masih boleh mendapatkan minyak masak ini di pasaran dengan harga biasa, bahkan, kerajaan tidak pernah sekat mereka untuk beli,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ia sebagai mengulas kebimbangan masyarakat susulan kenaikan harga komoditi minyak sawit di pasaran global terhadap produk bersubsidi.

Akhir minggu lalu, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan, lonjakan harga minyak sawit mentah mencecah RM4,270 setiap tan berbanding RM4,061 pada sehari sebelumnya.

Momentum trend kenaikan harga dijangka berlaku sepanjang bulan ini seperti direkodkan pada bulan lalu yang mampu mencapai RM4,773 ekoran sentimen positif dagangan global.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, bekalan minyak masak bersubsidi itu sentiasa mencukupi bagi menampung permintaan domestik dan tidak berlaku catuan atau kekurangan penawaran.

“Justeru, stok tidak jadi isu kepada pembeli golongan B40 kerana minyak jenis ini dibungkus dalam beg plastik dengan berat cuma satu kilogram dan dijual malar harga RM2.50,” katanya.

Pada masa sama, ujarnya, tiada isu besar timbul apabila pengusaha kebun kelapa sawit di seluruh negara kini bergembira dengan harga komoditi itu di pasaran yang melonjak tinggi.

Sebaliknya, meskipun harga komoditi minyak sawit meningkat, namun, minyak masak dalam bungkusan satu kilogram itu tetap diberi subsidi oleh kerajaan dan dijual pada harga biasa.

“Dalam hal ini, kenaikan harga komoditi bukan isu kerana ia menguntungkan pekebun kelapa sawit tetapi pada masa sama harga minyak masak bersubsidi masih lagi kekal,” jelas beliau.

Kedua-dua pihak pengusaha dan pembeli mendapat manfaat, malah pihak kerajaan terus memberi jaminan bagi mengekalkan subsidi untuk minyak dalam bungkusan satu kilogram itu.

Rosol bagaimanapun berkata, disebabkan harga komoditi minyak sawit meningkat drastik, harga minyak masak yang bukan diberi subsidi harga oleh kerajaan dijangka naik sedikit.

“Namun rakyat ada hak berbelanja dan boleh pilih untuk beli minyak masak bersubsidi dengan harga biasa,” katanya sambil meminta pengguna tidak mudah mendengar khabar angin.

Ini termasuk maklumat tular konon berlaku kekurangan bekalan atau kenaikan harga minyak masak, sebaliknya mereka perlu mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya