Terpaksa pinjam Wifi orang lain untuk belajar - Utusan Malaysia

Terpaksa pinjam Wifi orang lain untuk belajar

NURUL Firzannah Mohd. Azman menunjuk keputusan 9A peperiksaan SPM 2020 ketika ditemui di Parit, Khamis lalu. -MINGGUAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, Nurul Firzannah Mohd. Azman, 18, tidak menyangka memperoleh semua A dalam semua sembilan mata pelajaran diambil walaupun berdepan kesukaran mengikuti pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Al Aziz, Parit ini berkata, tinggal di kawasan kampung merupakan cabaran buatnya ekoran berhadapan masalah rangkaian jalur lebar.

“Kadang-kadang, saya rasa tertekan kerana selalu ketinggalan sesi pembelajaran dan terpaksa melihat semula video yang dimuat naik cikgu dalam Youtube, selain bertanya rakan-rakan.

“Namun, saya anggap ini semua cabaran dan bagi mengurangkan tekanan berkenaan saya sering bangun tengah malam menunaikan solat sunat Tahajud,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjung Medan, di sini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah yang menyampaikan saguhati berjumlah RM1,000 di atas kejayaan Nurul Firzannah itu.

Menurut Nurul Firzannah, selepas menunaikan solat sunat tahajud, dia kemudiannya memulakan ulang kaji pelajaran sehingga azan subuh dan menyambung semula selepas selesai menunaikan solat.

Anak kepada pekebun sawit dan tukang jahit itu berkata, dia terpaksa menggunakan jaringan tanpa wayar (WiFi) rumah nenek saudaranya yang berhampiran dengan kedai jahit ibunya.

“Saya juga sentiasa mengingatkan diri sendiri agar tidak menjadikan masalah ketika mengikuti PdPR sebagai halangan untuk berjaya dalam SPM dan berusaha sebaik mungkin,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan, Nurul Firzannah berkata, dia kini sedang menyambung pelajaran di Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar bagi mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Kalau ada rezeki saya nak sambung belajar di Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang pengajian Bahasa Arab,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya