Sukarelawan myVAC berdaftar cecah 80,000 orang - Utusan Malaysia

Sukarelawan myVAC berdaftar cecah 80,000 orang

REEZAL Merican Naina Merican ketika meninjau proses vaksinasi di PPV Dewan Milenium Kepala Batas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Jumlah belia yang mendaftar sebagai sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (myVAC) kini mencecah seramai 80,000 orang sejak mula dibuka Februari lalu. 

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 8,000 peserta telah melengkapkan penyertaan mereka sepenuhnya. 

“Ketika ini pula, seramai 4,500 sukarelawan myVAC telah ditugaskan untuk membantu kerja-kerja berkaitan di Pusat Pemberian Vaksin di 332 (PPV) di seluruh negara. 

“Kita jangkakan ada penambahan sukarelawan myVAC tidak lama lagi terutamanya apabila kesemua 600 PPV mula beroperasi selepas ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas meninjau proses pemberian suntikan vaksin di PPV Dewan Millenium di sini. 

Program myVAC merupakan inisiatif yang ditubuhkan hasil kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan Kementerian Kesihatan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dalam membantu melancarkan program imunisasi kerajaan. 

Dalam pada itu kata Reezal Merican, dengan adanya sukarelawan MyVac misi kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok yang disasarkan juga dijangka berjalan baik tanpa sebarang masalah.

“Mereka (sukarelawan myVAC) boleh membantu dengan mengambil alih tugas seperti di meja pendaftaran yang sebelum ini dibuat oleh petugas perubatan dan membantu orang awam yang mendapatkan suntikan. 

“Ini secara tidak langsung akan memudahkan petugas-petugas perubatan untuk menumpukan kepada tugas-tugas mereka dalam memberikan vaksin serta tugasan lain yang berkaitan perubatan,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN