MELAKA: Presiden UMNO sepatutnya membentangkan secara telus kepada Majlis Tertinggi (MT) berkenaan hasratnya untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sekiranya benar dakwaan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, tindakan 25 ahli Parlimen yang dikatakan tidak bersama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah disebabkan tiada kejujuran dalam menjelaskan situasi dan kedudukan parti di masa hadapan.
Katanya, seandainya perkara sepenting itu terlebih dahulu dibentangkan kepada semua ahli Parlimen dan MT, sekurang-kurangnya keputusan konsensus boleh diperoleh.
“Setidak-tidaknya isu itu dibuka kepada MT UMNO terlebih dahulu, jika beliau (Ahmad Zahid) masih berpandangan parti akan menguasai kerajaan. Sudah pasti ada yang menyokong atau sebaliknya.
“Tetapi yang lebih penting ialah hasrat Presiden telah dibentangkan dan diperbahaskan secara berhadapan, begitulah cara pemimpin tulen sejati,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang.
Baru-baru ini, Mohamed Nazri mendedahkan Ahmad Zahid mengemukakan surat sokongan ahli Parlimen parti itu bagi menyokong Presiden PKR sebagai Perdana Menteri.
Mohamed Nazri berkata, Ahmad Zahid dikatakan berbuat demikian ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.
Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan beliau bersama 24 ahli Parlimen UMNO lain membuat surat sokongan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar Menteri Luar itu diberi mandat berurusan dan membuat keputusan bagi pihak mereka jika dipanggil menghadap Seri Paduka. -UTUSAN










