PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyifatkan situasi yang dihadapi usahawan dan peniaga semasa sekatan pergerakan penuh ketika ini akan menjadi lebih parah berbanding PKP 1.0.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon menjangkakan sedemikian kerana menganggap golongan usahawan tidak lagi mempunyai wang simpanan sebanyak sebelum ini untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Malah beliau meramalkan, golongan usahawan dan peniaga tidak akan bertahan lama jika bantuan yang sewajarnya tidak diberikan dalam masa terdekat.
“Kalau PKP 1.0, kita masih ada wang simpanan, tapi kalau lepas setahun dengan PKP 2.0 dan kini sekali lagi PKP penuh, aliran wang semakin berkurangan dan wang simpanan hampir habis. Sepatutnya usahawan dan peniaga diberikan bantuan yang besar dan mencukupi.
“Moratorium pun tidak sepatutnya bersasar, kerana akan ada yang sepatutnya layak tetapi terlepas daripada menikmati inisiatif itu. Sekarang kami dah kering, paling lama boleh bertahan dalam satu ke dua bulan. Bantulah majikan juga, kalau tidak macam mana pekerja nak dapat gaji. Kita tidak mahu sampai satu tahap kena buang pekerja atau potong gaji,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed berharap fasa pertama sekatan pergerakan ini tidak berlanjutan kerana menyifatkan penjaja dan peniaga kecil hanya mampu bertahan sekurang-kurangnya selama dua minggu.
“Kami reda dengan apa yang berlaku ketika ini, dengan kemungkinan kes Covid-19 boleh meningkat sehingga 10,000 bulan depan. Namun, penjaja dan peniaga kecil ini majoriti tergolong dalam B40. Ada yang bergantung kepada pendapatan harian, belum kira komitmen lagi. Kami cuma berharap dapat bertahan selama dua minggu ini,” katanya.
Di sebalik itu, Mohamed Zamri menyeru para penjaja dan peniaga kecil supaya menyesuaikan diri dengan perniagaan secara maya.
“Kebanyakan penjaja dan peniaga kecil terlibat dengan sektor jual makanan dan mereka sudah pun boleh berniaga secara atas talian. Berniaga secara fizikal hanya boleh dibuat beberapa jam sahaja kerana kekangan masa, tetapi kalau secara maya boleh berniaga dalam tempoh lebih panjang, pasarannya pun luas dan kos juga tidak mahal.
“Namun, masih ada lagi penjaja dan peniaga kecil yang belum menggunakan sepenuhnya kemudahan berniaga secara online, tetapi inilah perniagaan masa depan. Sekurang-kurangnya sumber pendapatan masih ada walaupun sekatan pergerakan berkuatkuasa nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE










