ARAU: Persidangan Parlimen secara hibrid tidak sesuai diadakan kerana pendekatan tersebut memerlukan tempoh lama untuk dilaksanakan selain menampakkan kerajaan seolah-olah ingin melengahkan persidangan berkenaan.
Sebaik-baiknya persidangan tersebut diadakan secara bersemuka mengikut peraturan sedia ada dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat sebagaimana persidangan Parlimen yang juga dalam tempoh pandemik Covid-19 sebelum ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, persidangan Parlimen itu boleh mengikut kaedah seperti sebelum ini iaitu mengehadkan jumlah ahli Parlimen di dalam dewan.
Pada masa sama, katanya, Perdana Menteri juga perlu mengambil langkah meredakan isu pembukaan Parlimen ini dengan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membincangkan soal tersebut selain bersetuju mengadakan sidang dalam tempoh terdekat.
“Langkah kerajaan mengadakan persidangan Parlimen itu cukup baik, kalau boleh lebih baik secara bersemuka.
“Persidangan secara hibrid sememangnya boleh dilaksanakan namun memerlukan tempoh yang lama kerana banyak perkara atau aspek perlu dikaji dan diteliti sebelum boleh dilaksanakan,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau minggu pertama September tahun ini.
Dalam kenyataan bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan, sedikit tempoh diperlukan untuk menjalankan sidang Parlimen secara hibrid.
Kenyataan itu juga menjelaskan, persidangan hibrid melibatkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 ahli Dewan Rakyat untuk menepati kehendak korum di Dewan Rakyat dan 10 ahli Senator di Dewan Negara.
Mengular lanjut, Rusdi berkata, persidangan Parlimen itu penting untuk disegerakan bagi membincangkan usaha menangani pandemik Covid-19 dan masalah rakyat.
“Jika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dilaksanakan, saya lihat tidak ada alasan lagi untuk tidak diadakan sidang Parlimen secara bersemuka dalam tempoh terdekat ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE










