Pandemik tak patahkan semangat Aina, Azfar - Utusan Malaysia

Pandemik tak patahkan semangat Aina, Azfar

AINA NURAIN bersama ibunya Siti Azehan Jusoh melihat salinan keputusan SPM di rumahnya di Kampung Huda, Kota Bharu. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pandemik tak patahkan semangat Aina, Azfar

Oleh ROHANA MOHD. NAWI/pix/zz (ai)
[email protected]

KOTA BHARU: Kekangan dalam menuntut ilmu ketika musim pandemik Covid-19 gagal mematahkan semangat dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah, Aina Nurain Mohd. Zamanshahril dan Muhd. Azfar Nasution Sakaria masih mampu memperoleh keputusan SPM yang cemerlang dengan hanya mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ain Nurain dan Muhd. Azfar Nasution masing-masing memperoleh 8A dan 7A dalam keputusan SPM yang diumumkan hari ini.

Aina Nurain, 18, yang merupakan anak yatim berkata, dia terkejut melihat keputusan diperoleh kerana menyasarkan hanya mampu memperoleh 5A berdasarkan prestasinya dalam peperiksaan percubaan.

“Bagi menghadapi SPM, saya hanya belajar pada sebelah malam bermula pukul 10 malam hingga 2 pagi sahaja. Kalau ada soalan, saya terpaksa kumpul dan tanya pada guru ketika PdPR esok pagi. Komunikasi terhad beri tekanan kepada saya.

“Saya terkejut namun gembira dapat 8A dan segera berkongsi berita gembira ini dengan ibu, Siti Azehan Jusoh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Huda di sini Khamis lalu.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, dia berhasrat meneruskan pengajian di Universiti Malaya (UM) untuk mencapai cita-cita sebagai jurutera sekali gus membalas jasa ibu membesarkannya seorang diri selepas bapa meninggal dunia lima tahun lalu.

Sementara itu, Muhd. Azfar Nasution, 18, dari Kampung Pulau Raja, Kubang Kerian pula berkata, dia hampir putus asa kerana memikirkan kaedah PdPR amat sukar berbanding belajar secara bersemuka namun menguatkan semangat untuk meneruskannya.

“Setiap hari saya mengulang kaji buku selama lima jam sehari dan rasa tertekan kerana sukar berkomunikasi dengan guru.

“Alhamdulillah saya berjaya memperoleh 7A dan berharap suatu hari nanti dapat mengubah nasib keluarga yang berpendapatan rendah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN