PETALING JAYA : Kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi membantu golongan terjejas ekoran kenaikan harga minyak masak yang dibotolkan berkapasiti 5 kilogram (kg).
Malah kerajaan sebenarnya mempunyai beberapa pilihan bagi membantu golongan terkesan dengan kenaikan harga minyak tersebut terutama golongan B40 dan M40.
Antara pilihan tersebut termasuklah memperkenalkan program subsidi minyak masak botol bersasar kepada isi rumah B40 dan M40 menerusi harga yang lebih rendah mengikut data Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sedia ada di bawah seliaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, kerajaan boleh memperkenalkan program pembelian minyak masak mengikut had kuota setiap isi rumah yang bersesuaian.
Pilihan kedua kata beliau adalah penambahan program bantuan tunai BPR kepada kumpulan B40 dan M40.
Ini kerana katanya, pakej bantuan Pemerkasa Tambahan yang diumumkan baru-baru ini tidak cukup memuaskan dan telah diulas banyak pihak.
“Satu lagi pilihan adalah menambah kuota subsidi minyak masak satu kg di bawah Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) melebihi jumlah sedia ada, di samping mengetatkan penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan, “ ujarnya dalam hantaran Facebooknya.
Beliau mengakui kenaikan harga minyak mentah (CPO) mampu memberi manfaat kepada pengeluar termasuk peneroka Felda dan pekebun kecil ,itu pun jika pengeluaran mereka tidak terlalu rendah.
Namun apa yang pasti pihak memperoleh keuntungan adalah pengeluar atau syarikat besar selain kerajaan mendapat pulangan menerusi cukai.
Beliau berkata, harga minyak masak dalam botol sememangnya tidak lagi disubsidi oleh kerajaan selepas 2016.
Selain itu apabila harga CPO meningkat, harga minyak masak juga akan meningkat.
Justeru ekoran kenaikan harga CPO sejak tahun lepas, harga minyak masak tidak bersubsidi juga meningkat mendadak iaitu minyak masak 5kg berharga lebih daripada RM30.
Sebenarnya kata beliau kerajaan mendapat untung menerusi hasil berkaitan sawit seperti duti eksport CPO dan juga cukai keuntungan luar biasa (windfall tax) kepada syarikat-syarikat kelapa sawit apabila harga CPO melebihi RM2,500/ tan metrik di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,000/tan metri di Sabah dan Sarawak.
“Ini bukan cukai baru yang dicadangkan. Ini cukai sedia ada, “ujar beliau.
Kerajaan juga mendapat hasil lagi termasuk cukai pendapatan korporat yang dikutip daripada syarikat-syarikat besar
Kata beliau lagi, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razai sendiri mengakui bahawa kerajaan akan mengutip hampir RM300 juta bagi dalam tiga bulan yang pertama tahun ini menerusi windfall tax .
Jika harga kekal tinggi maka kerajaan akan mengutip lebih RM1 billion tahun ini berbanding tahun lepas yang hanya mengutip RM348 juta windfall tax ke atas syarikat perladangan kelapa sawit.
Maka lebihan hasil kerajaan itu cukup untuk menampung perbelanjaan berkaitan, sekali gus mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga minyak masak.
Justeru katanya selain memperketatkan penguatkuasaan untuk menghapuskan ketirisan yang menyebabkan minyak masak bersubsidi (1kg) tidak sampai ke golongan sasar, tiga pilihan tersebut boleh dibuat pertimbangan kerajaan bagi membantu golongan terkesan.- UTUSAN ONLINE










