PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) melonggarkan syarat Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) dan skim pembiayaan khusus untuk wanita, DanaNITA, selain menambah baik skim tersebut bagi membantu usahawan yang terkesan berikutan pandemik Covid-19.
Pengerusi Mara, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, pihaknya menyasarkan untuk membantu 1,000 usahawan yang terjejas dengan peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah S3P, manakala 200 usahawan wanita di bawah skim DanaNITA dengan peruntukan kewangan sebanyak RM10 juta.
“Antara syarat yang dilonggarkan ialah perniagaan hanya perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tidak mensyaratkan perlu beroperasi lebih enam bulan. Tempoh bernafas juga dilanjutkan dari enam bulan kepada 12 bulan serta dikecualikan syarat daripada mempunyai lesen perniagaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kelonggaran dokumen berkaitan permohonan seperti sebut harga ubahsuai, pembelian mesin dan alatan turut dikecualikan manakala penyata akaun bank hanya diperlukan untuk tiga bulan berbanding enam bulan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Azizah, skim DanaNITA yang diperkenalkan pada 2017 itu turut ditambah baik dengan menaikkan had maksimum pembiayaan sehingga RM150,000 berbanding RM50,000 sebelumnya.
Bagi usahawan yang membuat pembiayaan di bawah RM50,000 pula, mereka tidak perlu menyediakan penjamin atau cagaran.
Katanya, melalui pendekatan itu, lebih ramai usahawan wanita dapat diberikan akses bukan sekadar untuk mereka bertahan ketika pandemik ini, malah boleh membantu mereka terus pengembangkan perniagaan. – UTUSAN ONLINE










