Lelaki ditahan cuba masuk kawasan PKPD Simpang Juasseh - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan cuba masuk kawasan PKPD Simpang Juasseh

AMRAN Mohd. Ghani ketika meninjau pelaksanaan PKPD Simpang Juasseh, Kuala Pilah hari ini.-FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Lelaki ditahan kerana cuba memasuki kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Simpang Juasseh dalam kejadian yang berlaku malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, pihaknya menerima laporan lelaki berusia 40 tahun itu datang ke pos kawalan dalam keadaan tidak terurus kira-kira pukul 9.50 malam.

“Lelaki berkenaan memaklumkan hendak berjumpa isteri dan anak-anaknya, namun, dia tidak dibenarkan berbuat demikian kerana kawasan berkenaan kini dikuatkuasakan PKPD. Kami juga dimaklumkan, keluarga lelaki itu kini memakai gelang berwarna merah jambu dan sedang dikuarantin.

“Bagaimanapun, lelaki berkenaan ingkar arahan dan turut mengeluarkan kata-kata kesat serta menganggu tugas pihak berkuasa di sini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di PKPD Simpang Juasseh dekat sini hari ini.

Menurutnya lagi, lelaki tersebut direman selama dua hari bermula semalam dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Amran turut menasihatkan orang ramai supaya tidak sesekali cuba memasuki kawasan PKPD dan sekiranya ingkar, mereka turut akan dikenakan tindakan tegas.

“Saya mahu mengingatkan orang ramai agar mereka tidak datang ke kawasan PKPD ketika ini. Tindakan ini diambil untuk membendung penularan wabak Covid-19, hanya untuk tempoh dua minggu ini sahaja.

“Kami memahami situasi ada yang mahu bertemu keluarga namun mereka perlu faham tugas penguatkuasaan yang sedang dijalankan,” katanya lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, PKPD Mukim Juasseh dilaksanakan berkuat kuasa dari 31 Mei sehingga 13 Jun depan.

Tiga kawasan perumahan yang terlibat dalam PKPD tersebut ialah Taman Desa Permai, Rumah Rakyat Juasseh dan Taman Sri Juasseh. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya