Kerajaan darurat boleh dilaksanakan - Utusan Malaysia

Kerajaan darurat boleh dilaksanakan

DR. WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pembentukan kerajaan darurat boleh dilakukan selepas tamat pelaksanaan darurat pada 1 Ogos ini.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh memanggil persidangan Parlimen jika Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan digantung kuat kuasa melalui ordinan.

Malah, kata beliau, Seri Paduka boleh melantik Kabinet interim dalam kalangan ahli Parlimen sedia ada dari pelbagai parti politik untuk menganggotai Kabinet itu jika berlaku dua keadaan iaitu pertama Parlimen dibubarkan dan kedua melalui penggubalan ordinan.

“Dalam tempoh sehingga bulan Ogos ini, Yang di-Pertuan Agong telah menasihati Parlimen boleh bersidang tetapi fokus persidangan itu hanya semata-mata usaha melandaikan lekuk penularan jangkitan Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

“Selepas bulan Ogos jika darurat dilanjutkan, maka kerajaan darurat boleh diberi pertimbangan termasuk dalam kalangan bukan ahli politik. Jadi dari sudut undang-undang ada cara boleh dibuat, namun dari sudut langkah itu praktikal atau sebaliknya bergantung kepada situasi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Baru-baru ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan sebuah kerajaan darurat ditubuhkan dan perlu mempunyai kerjasama daripada semua parti politik dengan dianggotai sesiapa yang berkelayakan dan mempunyai kepakaran.

Cadangan Azalina itu diterima baik oleh beberapa pemimpin politik, antaranya Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyatakan perkara tersebut wajar dilakukan dan perlu dipertimbangkan oleh semua parti politik.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil pula berkata, rakyat hanya mahukan penyelesaian yang lebih berkesan untuk mengurangkan kadar jangkitan dan tidak lagi menghiraukan keadaan politik negara.

Menyokong pendapat sama, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Yang di-Pertuan Agong, perlu memanggil semua ketua parti bagi membincangkan keselamatan negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×