Kementerian Sumber Manusia Kutip kompaun RM3.4 juta - Utusan Malaysia

Kementerian Sumber Manusia Kutip kompaun RM3.4 juta

AWANG Hashim (tengah) mengetuai operasi pematuhan Akta 446 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Fasa Pertama di sebuah kilang elektronik dan peralatan perubatan di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Sungai Petani, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kementerian Sumber Manusia mengutip bayaran kompaun sebanyak RM3.4 juta daripada majikan di seluruh negara atas pelbagai kesalahan sejak Februari lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, kompaun yang dikeluarkan itu membabitkan sebahagian daripada 745 kertas siasatan yang dibuka di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) ke atas majikan dalam pelbagai sektor.

Menurutnya, tindakan menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) itu dibuat hasil pemeriksaan ke atas 106,824 penginapan pekerja melibatkan sebanyak 19,149 majikan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 125 kertas siasatan telah diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen di seluruh negara dengan 55 kes telah selesai membabitkan jumlah denda dibayar sebanyak RM361,000.

“Manakala sebanyak 291 kertas siasatan lagi diberi izin kompaun melibatkan tawaran kompaun berjumlah kira-kira RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan operasi pematuhan Akta 446 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Fasa Pertama di sebuah kilang pengeluar produk elektronik dan peralatan perubatan di Kawasan Perindustrian Bakar Arang di sini, hari ini.

Menurut Awang, sementara di Kedah pula sebanyak 32 kertas siasatan dibuka dengan enam kes selesai di peringkat mahkamah membabitkan denda berjumlah RM58,000 manakala 19 lagi kertas siasatan dikenakan kompaun berjumlah RM190,000.

Katanya, kebanyakan kesalahan yang dilakukan ialah pelanggaran di bawah Seksyen 24D Akta 446 kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan Ketua Pengarah JTK.

“Kesalahan lain ialah tidak mematuhi kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja disiasat di bawah Peraturan 3 dan 4 di bawah Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020 iaitu,” ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, sebanyak 2,657 kes membabitkan pelbagai isu dihadapi pekerja termasuk warga asing telah dilaporkan menerusi aplikasi Working For Workers (WFW) sejak dilancarkan pada 3 Mei lalu.

“Aplikasi ini menjadi saluran kepada pekerja untuk membuat aduan berkaitan sebarang isu di tempat kerja masing-masing antaranya kes pemotongan gaji dan dipecat tanpa notis,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya