PORT DICKSON: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan mengenal pasti perairan Pasir Panjang dekat sini kerap dijadikan lokasi penggunaan bubu naga pihak tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan pendapatan nelayan tradisional berlesen.
Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, pihaknya mula menerima aduan sejak tahun lalu bahawa bubu naga sering digunakan oleh nelayan-nelayan tidak berlesen.
“Bermula dari Tanjung Agas hingga Sungai Sekawang sering berlaku penggunaan bubu naga ini yang boleh menjejaskan sumber perikanan, ia mempunyai banyak injap dan sangat panjang. Jabatan hanya mengeluarkan lesen bubu yang mempunyai tidak lebih daripada dua injap sahaja.
“Bagaimanapun, pihak Jabatan Perikanan sering mengadakan rondaan bagi membanteras penggunaan bubu naga ini. Walaupun negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami terus menjalankan rondaan di sekitar perairan Port Dickson,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pada tahun ini, pihaknya telah menemui sebanyak 64 set bubu naga dan telah disita dan dirampas mengikut Seksyen 49 Akta Perikanan 1985.
Dalam kejadian terbaharu pada 10 Jun lalu sebanyak 19 unit bubu naga ditemui dan disita berdekatan pantai Pasir Panjang.
“Kebanyakan individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan bubu naga ini membiarkan sahaja peralatan berkenaan di lokasi tersebut.
“Kami ingin memberi peringatan tegas kepada nelayan yang menggunakan bubu berkenaan dan sekiranya dijumpai, mereka boleh ditahan atas kesalahan di bawah seksyen 11(3) Akta Perikanan 1985 (menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa lesen) yang boleh didenda maksimum RM20,000 atau maksimum penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.










