KOTA KINABALU: Tiga kali ungkapan ‘saya sangat gembira’ diluahkan oleh Wong Kok Chew,102, sebaik sahaja selesai menerima vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah hari ini.
Individu tertua di Sabah ini dengan rela hati ingin menerima vaksin tanpa perlu dipaksa oleh anak-anaknya.
Sejak mendaftar sebagai penerima vaksin dia sering ternanti-nanti giliran untuk divaksin sehingga dia bertanya sekali lagi semalam bila gilirannya untuk divaskin.
Selepas disuntik vaksin, bapa kepada lapan orang anak ini sempat bertanya kepada jururawat sekiranya suntikan sudah selesai. Dia bertanya langsung tidak terasa sakit semasa dicucuk jarum.
Sementara itu, anaknya, Anna Wong, 60, berkata, bapanya yang berasal dari China itu merantau ke Sabah sejak zaman muda dan terus menetap di negeri ini. Bapanya juga pernah melalui zaman pemerintahan Jepun.
Katanya, bapanya seorang yang sentiasa ceria dan mungkin itu rahsia dia kekal sihat sehingga sekarang.
“Dia (bapa) juga seorang penggemar makanan pedas dan sering makan cili padi. Selain itu, dia selalu minum kopi O dan makan dengan kuantiti yang sedikit tapi kerap.
“Untuk mengambil vaksin, dia sendiri yang mahu divaksin. Kami tidak perlu meyakinkan dia bahawa vaksin ini baik dan selamat biarpun untuk individu yang berusia sepertinya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berharap bapanya dapat memberi inspirasi dan contoh yang baik kepada individu lain yang masih ragu-ragu untuk mengambil vaksin.
Jika individu berusia lebih 100 tahun seperti ini tidak takut vaksin maka, semua orang juga perlu beranikan diri untuk mendapatkan vaksin agar imuniti kelompok di Sabah mampu dicapai.
Anna turut melahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin kerana membantu memastikan nama bapanya menerima vaksin secepat mungkin.- UTUSAN ONLINE