KUALA LUMPUR: Taman Tasik Titiwangsa di sini bertukar meriah dengan warna-warni seni dan warisan menerusi penganjuran Festival Budaya Malaysia 2025 yang menghimpunkan ramai pengunjung sekali gus menjadi platform mengeratkan perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu bukan sekadar acara hiburan malah mencerminkan identiti Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya.
Pelajar Universiti Malaya (UM), Amran Ibrahim, 29, berkata, festival itu memperlihatkan keunikan budaya masyarakat Malaysia yang turut menjadi tarikan pelancong luar negara.
“Festival ini sangat bagus sebab ia menunjukkan budaya-budaya yang ada di Malaysia. Bagi saya, aktiviti yang paling menarik adalah pertunjukan membuat wau.
“Festival ini wajar diadakan setiap tahun, tambahan lagi tahun depan merupakan Tahun Melawat Malaysia,” katanya kepada ketika ditemui semalam.
Seorang lagi pengunjung, Luqman Hakim Mohamad, 29, berkata, festival berkenaan merupakan contoh terbaik penganjuran acara budaya kerana menghimpunkan pelbagai persembahan dan aktiviti menarik dari seluruh negeri serta rantau Asia Tenggara.
“Konsep program di taman juga sangat menarik. Orang ramai yang datang beriadah boleh singgah tengok program budaya. Cuma mungkin boleh diperkembangkan lagi dengan pameran asal-usul sejarah supaya lebih mendalam.
“Selain itu, jualan makanan menjadi tarikan utama. Banyak gerai yang menjual dan memberikan sampel percuma, daripada situ kita boleh cuba makanan yang tak pernah rasa sebelum ini,” katanya.
Festival yang berlangsung dari 12 hingga 16 September tersebut menampilkan gabungan muzik tradisional, tarian etnik, demonstrasi kraf tangan serta sajian kulinari dari setiap negeri.-UTUSAN.










