MUKADIMAH
Kecerdasan buatan (AI) kini muncul sebagai pemacu utama transformasi dalam dunia kewangan dan perakaunan.
Teknologi ini bukan sahaja mempercepatkan proses automasi, malah turut mengubah cara kerja, fungsi profesional dan hala tuju industri secara keseluruhan.
Perkembangan pantas dalam bidang AI dilihat memberi kesan langsung kepada pelbagai aspek seperti analisis data, audit, pematuhan peraturan serta keberkesanan operasi.
Malah, ia turut menimbulkan persoalan besar tentang bagaimana tenaga kerja kewangan perlu bersedia menghadapi perubahan landskap yang semakin kompleks.
Bagi memahami lebih lanjut tentang peluang, cabaran dan risiko yang wujud, Wartawan Utusan Malaysia, SABRINA ZULKIFLI berpeluang menemu bual Ketua Penyelidikan Teknologi Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), ALISTAIR BRISBOURNE, yang berkongsi pandangan beliau mengenai impak sebenar AI terhadap masa depan industri kewangan dan perakaunan.
UTUSAN: Bagaimanakah AI mengubah peranan tradisional dalam perakaunan dan kewangan?
ALISTAIR: Terdapat dua faktor besar yang perlu dipertimbangkan.
Pertama, keupayaan teknikal semasa dan kedua, kelajuan penerimaan oleh organisasi.
Kita baru mula melihat bagaimana tugas berubah apabila AI disepadukan dalam kerja profesional.
AI digunakan dalam dua cara utama iaitu automasi pintar (automasi proses berulang yang ditambah baik dengan algoritma) dan generatif AI atau ejen AI (alat berasaskan pembelajaran mesin untuk menghasilkan kandungan atau membantu pencarian maklumat).
Ketika ini, AI sudah mampu mengambil alih tugas berulang seperti rekonsiliasi (penyelarasan rekod kewangan), semakan invois dan audit pematuhan.
Manfaatnya jelas, kerja siap lebih cepat, ralat berkurang dan keputusan dapat dibuat dengan data masa nyata.
Nilai sebenar ialah membebaskan akauntan supaya mereka boleh memberi tumpuan kepada analisis strategik, seperti perancangan jangka panjang dan memacu pertumbuhan perniagaan.
Malah, peranan peringkat pertengahan kini juga berkembang dari sekadar mengira nombor kepada membentangkan pandangan kepada pengurusan.
Secara keseluruhan, AI bukan sahaja mengubah tugas, malah membentuk semula trajektori kerjaya, membuka laluan baharu dalam bidang tadbir urus dan jaminan AI.
Apakah halangan utama yang mewujudkan jurang antara persepsi dan pelaksanaan AI?
Berdasarkan kajian Smart Alliance, cabaran terbesar ialah mengenal pasti penyelesaian AI yang benar-benar sesuai dengan keperluan organisasi.
Teknologi bergerak pantas, ciri baharu sering dimasukkan dalam perisian sedia ada dan ini menyukarkan banyak firma untuk mengejar perubahan.
Faktor lain ialah kekurangan kemahiran dan keyakinan.
Ramai profesional kewangan tidak pasti cara menggunakan AI dengan betul, malah ada yang bimbang melakukan kesilapan.
Tanpa latihan dan dasar sokongan, penerimaan AI menjadi perlahan.
Isu paling besar ialah data.
Banyak syarikat masih guna sistem lama atau data berasingan (data silos).
Tanpa integrasi, nilai penuh AI tidak dapat dicapai.
Tambahan pula, tadbir urus dan akauntabiliti menjadi kebimbangan, siapa bertanggungjawab jika AI menghasilkan keputusan salah atau berat sebelah? Ketidakpastian ini menyebabkan pemimpin lebih berhati-hati.
Namun, jika syarikat memodenkan sistem data, membina kerangka tadbir urus dan melatih kakitangan, manfaatnya besar, keputusan lebih baik, operasi pantas dan tenaga kerja boleh fokus pada kerja strategik bernilai tinggi.
Apakah kemahiran baharu diperlukan profesional untuk kekal relevan dalam era AI?
Profesional kini perlu menguasai kemahiran khusus mengikut peranan, contohnya menangani pengecualian dalam transaksi atau membuat analisis ramalan untuk perancangan.
Lebih umum, mereka perlu mahir menilai data, memberi konteks dan mentafsir maklumat kerana AI tidak sempurna dan ia boleh membuat kesilapan.
Jadi, pertimbangan manusia kekal penting.
Akauntan juga perlu faham cara alat AI berfungsi, batasannya dan tahu bila perlu mencabar keputusan sistem.
Peranan utama mereka ialah menentukan bila wajar mempercayai AI dan bila perlu campur tangan supaya keputusan kewangan kekal tepat, adil dan relevan.
Bagaimanakah pertimbangan profesional harus berkembang dalam era AI?
Pertimbangan sentiasa menjadi teras profesion perakaunan, tetapi dalam era AI, ia semakin penting.
AI boleh memproses data besar dengan cepat, tetapi tidak boleh menilai konteks dan kesan sosial.
Akauntan tidak boleh menerima output AI secara membuta tuli.
Mereka perlu menyoal andaian di sebalik keputusan, menguji logiknya dan memastikan tiada bias.
Paling penting, akauntan mesti mempertimbangkan kesan kepada manusia, adakah keputusan itu adil kepada semua pihak?
Dengan menggabungkan AI dan pertimbangan profesional, akauntan boleh meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan terhadap pekerjaan.
Apakah tiga jenis utama penilaian AI yang diketengahkan oleh ACCA?
Tiga bidang utama yang ditekankan ialah ujian teknikal iaitu memastikan sistem AI tepat dan berfungsi seperti yang dijangka, ujian etika yang menilai sama ada sistem itu adil serta bebas daripada berat sebelah dan ujian tadbir urus yang memastikan keputusan yang dihasilkan oleh AI adalah telus, boleh dipertanggungjawabkan serta mematuhi peraturan sedia ada.
Gabungan ketiga-tiga ujian ini menjadi asas penting dalam membina kepercayaan terhadap penggunaan AI dalam sektor kewangan.
Mengapa hanya sedikit firma mempunyai strategi AI yang jelas?
Banyak firma masih di peringkat eksperimen kecil. Ada juga yang guna AI secara berasingan dalam jabatan berbeza, tanpa strategi menyeluruh.
Selain itu, projek AI sering diletakkan bawah fungsi teknologi, bukan kewangan, menyebabkan ia kelihatan tambahan dan bukan sebahagian strategi perniagaan.
Tambahan pula, isu pulangan pelaburan (ROI) menjadi faktor penting.
Strategi yang baik diperlukan supaya pelaburan AI selari dengan objektif perniagaan dan disokong kepimpinan. Barulah eksperimen kecil boleh bertukar menjadi transformasi sebenar. – UTUSAN










