PETALING JAYA: Bath & Body Works menandakan 35 tahun penubuhan di peringkat global dan sedekad operasi di Malaysia dengan menekankan komitmen terhadap pertumbuhan pasaran serantau serta keupayaan menyesuaikan penawaran produk mengikut cita rasa tempatan.
Jenama gaya hidup yang diuruskan oleh Valiram Group di rantau ini menyatakan Malaysia kekal sebagai satu daripda pasaran yang menunjukkan perkembangan positif sejak memasuki negara ini pada 2014.
Menurut Pengurus Besar Bath & Body Works bagi Asia Tenggara, Hong Kong dan Australia, Matthew Gregg, tumpuan syarikat kini adalah memperkukuh kedudukan runcit fizikal sambil menambah baik pengalaman pelanggan melalui inovasi dan peluasan rangkaian.
“Sepanjang 10 tahun di Malaysia, kami melihat permintaan berterusan untuk wangian dan kelengkapan penjagaan diri yang berkualiti.
“Trend ini didorong oleh pengguna yang semakin mementingkan gaya hidup dan kesejahteraan diri.
“Kami menyesuaikan koleksi agar lebih dekat dengan keutamaan tempatan, termasuk pilihan berunsur manis, floral dan buah-buahan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Majlis Sambutan Ke-35 Bath & Body Works.
Mengulas lanjut, Matthew berkata, syarikat turut merancang pelbagai inisiatif menjelang musim perayaan utama, selain memperkenalkan variasi produk secara konsisten bagi mengekalkan daya tarikan jenama dalam pasaran yang semakin kompetitif.
“Bath & Body Works yang kini beroperasi di lebih 80 negara, melihat Asia Tenggara sebagai pasaran penting untuk pengembangan jangka panjang.
“Kami memberi perhatian kepada musim perayaan yang penting di Malaysia seperti Krismas, Tahun Baru Cina, Ramadan dan Aidilfitri.
“Setiap musim memberi peluang untuk memperkenalkan koleksi istimewa yang meraikan budaya serta tradisi tempatan, di samping mengekalkan identiti global jenama kami,” tambah beliau.
Syarikat itu yakin permintaan terhadap produk gaya hidup dan wangian akan terus berkembang seiring peningkatan kuasa beli serta kesedaran pengguna terhadap kualiti dan pengalaman jenama. – UTUSAN









