Harga minyak sawit naik, tiga juta rakyat untung - Utusan Malaysia

Harga minyak sawit naik, tiga juta rakyat untung

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kenaikan harga minyak sawit menguntungkan tiga juta rakyat Malaysia sekali gus mengeluarkan mereka daripada status kemiskinan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kesan kenaikan harga sawit ditanggung oleh kumpulan M40 dan T20 yang cukup makan dan kaya, tetapi ia memulangkan nilai keringat sebenar pekebun kecil yang telah lama diabaikan. 

“Hasil cukai daripada kenaikan minyak sawit dipulangkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk yang dapat dirasai oleh semua rakyat. Negeri seperti Sabah dan Sarawak menikmati pendapatan tinggi kerana kenaikan harga sawit,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Sejak kelmarin, pengguna terkejut apabila mendapati harga minyak masak dalam botol terus melambung berbanding sebelum ini.

Harga minyak masak dalam botol lima kilogram (kg) melonjak melepasi harga antara RM30 hingga RM32.70 sebotol berbanding hanya RM25.90 hingga RM28 sebotol sebelum ini.

Pada masa sama, Mohd. Khairuddin menjelaskan harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi botol lima kg adalah munasabah memandangkan kenaikan harga minyak sawit bertapis yang tinggi pada masa ini.

Katanya, ekoran kenaikan harga minyak sawit mentah, maka berlakulah kenaikan harga pada minyak sawit bertapis atau minyak masak. 

“Harga minyak masak bertapis lebih tinggi sekitar RM5,000 bagi satu tan berbanding harga minyak sawit mentah. Oleh itu, dengan harganya adalah antara RM4,000 hingga RM4,500, purata kos harga minyak masak di kilang ialah RM4.50 antara RM5 sekilogram. 

“Kalau lima kg sekitar RM25, belum dikira kos pembungkusan dan lain-lain. Dengan rantaian bekalan menerusi pemborong dan peruncit, sangat munasabah harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi setiap lima kg,” katanya.

Selain itu, Mohd Khairuddin berkata, ketika ini minyak masak pek dua kg dan lima kg berada di pasaran sekitar 300,000 tan dan minyak masak pek bersubsidi satu kg kira-kira 720,000 tan, manakala sebanyak 19 juta tan dipasarkan di pasaran antarabangsa menerusi eksport. 

Katanya lagi, telah wujud penyelewengan minyak masak bersubsidi yang dijual pada harga RM2.50 bagi pek satu kilogram, sebelum ia dipek semula dan dijual dengan harga pasaran RM20 (sebelum ini) dan meningkat kepada RM30.

“Sekiranya subsidi diperluaskan kepada minyak masak lima kilogram untuk kegunaan M40 dan T20, penyelewengan boleh berlaku lagi pada skala lebih besar dan memerlukan penguatkuasaan lebih ketat.

“Sudah lama rakyat M40 dan T20 menikmati minyak masak pada harga rendah atas kudrat dan keringat pekebun kecil yang berpendapatan kecil,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya