Diserbu polis ketika sedang berhibur - Utusan Malaysia

Diserbu polis ketika sedang berhibur

INDIVIDU yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan pusat hiburan di Jalan Maharajalela di Teluk Intan semalam. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Keseronokan sekumpulan individu berhibur sambil minum minuman keras di sebuah rumah di Jalan Maharajalela di sini terbantut apabila premis berkenaan diserbu sepasukan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, serbuan pada pukul 7.30 malam itu telah menahan empat lelaki dan tiga wanita berusia 28 hingga 51 tahun.

Katanya, kompaun berjumlah RM4,000 dikenakan terhadap pemilik premis dan enam pelanggan di bawah Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021.

“Serbuan di rumah itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak kerana dipercayai menjalankan aktiviti pusat hiburan tanpa lesen.

“Semasa serbuan dijalankan, didapati rumah berkenaan tidak berkunci dan kedengaran bunyi muzik yang kuat,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemerhatian oleh pihaknya mendapati beberapa orang perempuan dan lelaki dipercayai pelanggan masuk ke dalam premis tersebut.

Katanya, terdapat beberapa lelaki dan perempuan berkumpul di meja makan dalam premis berkenaan. 

“Kompaun dikenakan ke atas mereka kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu melakukan aktiviti terlarang dengan berkumpul beramai-ramai untuk tujuan aktiviti sosial,” katanya.

Tambah beliau, dalam serbuan itu, lelaki berusia 48 tahun dipercayai pemilik premis ditangkap di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Perak kerana menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen yang sah.

“Turut dirampas telefon bimbit seorang pengunjung yang mempunyai aplikasi dan pautan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian online 

“Siasatan terhadap lelaki itu dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya