Dimarah terpaksa tunggu lama, barisan hadapan komited laksanakan tugas - Utusan Malaysia

Dimarah terpaksa tunggu lama, barisan hadapan komited laksanakan tugas

SEORANG petugas yang lengkap memakai sut PPE membantu orang ramai membuat calitan secara pandu lalu di OSCAC Stadium Tertutup Pasir Gudang di Johor. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Adakalanya kena marah dan dapat rungutan daripada orang ramai kerana terpaksa beratur panjang tetapi perkara itu langsung tidak mematahkan semangat petugas di sini yang setia melaksanakan tanggungjawab masing-masing.”

Demikian dikongsikan Ketua Pusat Sehenti Penilaian Covid-19 (OSCAC) di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Dr. Rohayah Abdullah kepada Utusan Malaysia apabila ditanya tentang kerenah orang ramai ketika menunggu giliran untuk melakukan ujian calitan.

Dr. Rohayah yang juga Pakar Perunding Perubatan Keluarga Johor berkata, setiap hari lebih 500 buah kenderaan beratur panjang di CAC tersebut untuk membuat ujian berkenaan secara pandu lalu terutamanya mereka yang dikenal pasti sebagai kontak rapat.

Jelas beliau, seramai 70 hingga 80 orang petugas perubatan yang lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) bertugas di lapangan CAC pada setiap masa tanpa mengira keadaan cuaca panas dan hujan selain hanya berbumbungkan khemah.

DR. ROHAYAH ABDULLAH

“Meskipun dalam keadaan begitu, semangat dan moral para petugas yang bekerja dilihat amat komited walaupun adakalanya kena marah dan rungutan daripada orang ramai kerana terpaksa beratur panjang.

”Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat mereka walaupun mungkin sedikit terganggu dari segi moral ekoran kerenah orang ramai yang tidak mematuhi peraturan yang disediakan,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain sebagai lokasi untuk ujian calitan, CAC Pasir Gudang yang dibuka sejak 31 Januari lalu ber­operasi sebagai pusat setempat pengurusan pandemik termasuk berperanan menilai pesakit Co­vid-19 kategori 1 dan 2 yang memenuhi kriteria untuk Perintah Pengasingan di Rumah (HIO).

Namun, langkah itu dilakukan setelah pesakit melalui stratifikasi risiko, saringan fizikal dan penilaian kesesuaian sebelum layak dipertimbangkan untuk perawatan dan pengasingan di rumah.

Sementara itu, Dr. Rohayah berkata, terdapat petugas di lapangan yang ditugaskan membuat rondaan di sekeliling jalan utama bagi mengedarkan borang maklumat kepada pemandu kenderaan yang akan membuat ujian calitan.

“Kita juga telah membuat penambahbaikan mengenai laluan masuk kereta dengan mengadakan laluan ekspres dan laluan kecemasan sekiranya ada di antara penumpang atau pemandu yang mengalami simptom teruk.

“Peningkatan mendadak orang ramai yang datang membuat ujian calitan di sini amat ketara selepas Aidilfitri yang mungkin berpunca daripada beberapa aktiviti melibatkan orang ramai seperti kunjungan sempena perayaan itu,’’ jelasnya.

Katanya, ketidakpatuhan orang ramai yang ingkar dengan arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan merupakan faktor utama meningkatnya jangkitan Covid-19 dengan pantas kebelakangan ini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN