Caj tetap saringan Covid-19 hanya kos makmal swasta - Utusan Malaysia

Caj tetap saringan Covid-19 hanya kos makmal swasta

DR. KULJIT SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 hanya melibatkan kos ujian saringan kes Covid-19 yang dilakukan dalam makmal swasta berdasarkan senarai harga sudah ditetapkan.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr. Kuljit Singh namun berkata, caj itu tidak pula meliputi yuran bagi pemerolehan sampel dan konsultasi dengan petugas perubatan.

“Kami ingin menegaskan bahawa, harga siling ujian makmal memang dikawal oleh kerajaan, tetapi tidak untuk pelbagai kos lain termasuk pakaian perlindungan peribadi (PPE),” jelasnya.

Kenyataan tersebut sebagai merujuk rungutan pelbagai pihak terutama majikan pekerja asing yang kesal caj saringan wabak itu adalah tinggi berbanding di fasiliti Kementerian Kesihatan.

Situasi berkenaan mengakibatkan ramai enggan melakukan ujian saringan atau memilih hadir ke klinik kesihatan awam yang tidak mengenakan bayaran sehingga berlaku kesesakan teruk.

Mengulas lanjut, Kuljit berkata, pihaknya cuma berpandukan kos maksimum diwartakan oleh kerajaan di bawah Ordinan Darurat bertarikh 17 Mei lalu yang khusus untuk makmal swasta.

“Caj bagi ujian polymerase chain reaction (RT-PCR) ditetapkan RM150 dan RTK-Antigen pula RM60 manakala RTK-Antibody ialah RM50 untuk di Semenanjung Malaysia,” tambah beliau.

Sementara untuk makmal swasta di Sabah dan Sarawak, harga siling ditetapkan ialah RM200 bagi ujian RT-PCR manakala RTK-Antigen pula RM80 serta RTK-Antibody sebanyak RM70.

Penetapan kadar seragam itu ujarnya turut disahkan menerusi surat daripada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) yang bertarikh pada 1 Jun lepas.

Bagaimanapun, bagi elak berlaku salah faham, semua operator hospital swasta akan mempamerkan segala caj ujian termasuk kos lain agar masyarakat dapat membuat keputusan awal.

 “Harga sebenarnya memang berbeza antara setiap hospital berdasarkan jenis perkhidmatan dan lokasi geografi supaya orang ramai bebas memilih dahulu sebelum datang,” terang Kuljit.

 Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa kos yang lengkap adalah masih lagi berpatutan dan dipastikan serendah mungkin untuk menampung keseluruhan ujian saringan Covid-19.

 Pada masa sama, beliau berharap, masyarakat awam tidak terkeliru lagi dan memahami yang harga diwartakan oleh pihak kerajaan hanya membabitkan ujian dibuat dalam makmal swasta.

 Ketika ini, sebahagian besar daripada 152 anggota persatuan berkenaan melakukan pelbagai jenis ujian saringan dalam usaha membantu kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.

 “Ini termasuk kaedah secara pandu lalu dan temujanji terbuka menerusi permohonan di unit kecemasan tanpa perlu menunggu lama atau kena membuat tempahan lebih awal,” tegasnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya