Bekalan makanan dijamin mencukupi - Utusan Malaysia

Bekalan makanan dijamin mencukupi

Ronald Kiandee (kiri) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada salah seorang penduduk Kampung Maidan Paitan, Sabah hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELURAN: Kerajaan akan terus meningkatkan sekuriti makanan di negara ini bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi ketika berdepan pandemik Covid-19.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, atas sebab itu, sejumlah RM400juta diperuntukkan bagi golongan petani, penternak dan nelayan yang terkesan akibat pandemik ini.

Di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank sahaja, RM350 juta diperuntukkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Setakat 16 Jun, sebanyak RM198.67 juta telah diluluskan di bawah skim ini bagi memanfaatkan 15,612 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro pertanian.

“Ketika ini, kerajaan berada di atas landasan yang betul untuk beralih keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 seperti yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). Pelan ini merangkumi empat fasa yang akan membolehkan negara keluar daripada pandemik Covid-19.

“Namun, kejayaan pelan ini memerlukan kerjasama dan sokongan rakyat secara keseluruhannya dengan terus mengamalkan disiplin kendiri yang tinggi, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa serta terus berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya semasa penyerahan sumbangan bakul makanan kepada 200 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Maidan, Paitan hari ini.

Ahli Parlimen Beluran ini berkata, pada masa ini kadar pemberian vaksin harian di Sabah sedang giat dilaksanakan dan ini akan membantu menjayakan PPN apabila 26 juta rakyat Malaysia diberikan vaksin menjelang akhir tahun ini bagi mencapai imuniti kelompok.

Jelas Ronald, kerajaan akan terus bekerja keras untuk keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 bagi memulihkan dan membangunkan semula ekonomi negara.

Justeru itu, beliau menggesa orang ramai untuk sama-sama menyahut seruan Perdana Menteri baru-baru ini untuk terus cekal dan kekal dengan semangat juang untuk tempoh yang mendatang bagi mengharungi cabaran pandemik Covid-19.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Samad Jambri dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah Ribin Wahid.

Mengulas lanjut, katanya, penyerahan sumbangan bakul makanan itu adalah sebahagian daripada 16,000 bakul makanan yang diagihkan oleh Pejabat Parlimen Beluran sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN