'Bank calon guru' dapat atasi isu kekurangan tenaga pengajar - Utusan Malaysia

‘Bank calon guru’ dapat atasi isu kekurangan tenaga pengajar

Jasni Md Kechik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan perlu mengubah strategi mengisi kekurangan guru secara ‘one-off’ dan kohort kepada mewujudkan ‘bank calon guru’ yang membolehkan jawatan itu diisi secara serta-merta.

Sementara menunggu panggilan, calon boleh melakukan kerja sementara yang bersesuaian seperti guru ganti kerana penempatan dijangka tidak memakan masa lama berikutan kekosongan jawatan guru sentiasa ada.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, bank itu perlu terdiri daripada calon-calon guru yang tamat kursus di pusat latihan yang diiktiraf kerajaan dan lulus temuduga ditetapkan.

“Apabila kerajaan ataupun Kementerian Pendidikan mempunyai ‘bank calon guru’, lantikan boleh dibuat secara serta-merta tanpa mengambil masa yang terlalu lama jika berlaku kekosongan,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Kementerian Pendidikan mengumumkan akan mengambil 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 secara ‘one-off’ untuk mengatasi kekurangan guru di negara ini khususnya membabitkan negeri dan mata pelajaran tertentu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dilaporkan berkata, pihaknya akan mengeluarkan iklan tawaran pada 7 Julai ini dan penempatan secara berperingkat akan dibuat bermula Oktober.

Mengulas lanjut, Jasni meminta pengambilan lebih 18,000 guru tersebut dipercepatkan bagi melancarkan pengurusan pendidikan di sekolah.

“Pengambilan guru perlu diambil daripada calon-calon guru yang telah tamat kursus perguruan yang diiktiraf oleh kerajaan dan bersesuaian dengan kekosongan opsyen di sekolah. Mereka ini sudah memahami budaya kerja sebagai seorang tenaga pengajar.

“Jika tidak cukup calon ikut opsyen, Kementerian Pendidikan boleh melantik juga calon opsyen lain yang bukan berbentuk teknikal dan kelulusan khas seperti calon opsyen Pendidikan Islam dan Bahasa Inggeris. Mereka ini perlu diambil dan dihantar kursus opsyen baharu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×