PETALING JAYA: Kira-kira 40 agensi haji dan umrah di negara ini perlu menanggung kerugian sehingga RM80 juta berikutan tiada penghantaran jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci pada tahun ini berikutan pandemik Covid-19.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, hal itu berikutan kerana setiap agensi pelancongan ibadah haji dan umrah dapat mengaut keuntungan sekurang-kurangnya RM500,000 sehingga RM2 juta setiap kali tibanya musim ibadah haji.
Katanya, keputusan itu menyebabkan setiap agensi haji dan umrah tidak dapat memperoleh keuntungan itu malah perlu menanggung kerugian kos operasi sedia ada sehingga RM500,000 setahun.
“Apabila tiba musim haji, setiap agensi dapat menjana keuntungan sekurang-kurangnya hampir RM2 juta, tetapi ia nampaknya tidak berlaku pada tahun ini. Pengusaha agensi juga menanggung kerugian kos operasi sekurang-kurangnya RM200,000 ke RM500,000 setahun seperti gaji pekerja, sewa dan lain-lain.
“Sememangnya berasa sedih dan tertekan apabila tidak dapat menjalankan perniagaan tetapi kami perlu menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka. Ahli-ahli Papuh juga akur dengan keputusan yang dikeluarkan kerana itu adalah dasar yang dibuat oleh Kerajaan Arab Saudi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H dihadkan hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang berada dalam negara tersebut sahaja.
Menurut Razali, kerugian tahun ini juga tidaklah sebanyak kerugian yang ditanggung pada tahun lepas.
“Tahun lepas kita rugi banyak disebabkan sewa hotel di sana dan lain-lain. Walaupun pada tahun ini belum ada sewa , tetapi kos operasi perlu dijaga.
“Saya juga berpendapat negara juga belum bersedia menghantar jemaah menunaikan ibadah haji disebabkan faktor kes pandemik Covid-19 yang meningkat sekalipun kerajaan Arab Saudi membenarkan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun KC Ahmmu berkata, pihaknya menghormati keputusan tersebut kerana sebarang ia semestinya sudah mengambil pertimbangan dari sudut keselamatan.
“Dengan peningkatan varian baharu malah masih banyak negara belum mencapai imuniti berkelompok, jadi kita menghormati keputusan itu. Diharapkan negara Islam yang lain berusaha mencapai ke arah imuniti berkelompok supaya mudah-mudahan pelaksanaan ibadah haji tahun hadapan menjadi kenyataan.
“Kita harus menerima dengan berlapang dada dan hormati apa sahaja keputusan mereka serta percaya sepenuhnya kepada keputusan yang diambil itu,” katanya. -UTUSAN










