59 kilang ingkar SOP ditutup sejak 1 Jun - Utusan Malaysia

59 kilang ingkar SOP ditutup sejak 1 Jun

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasukan Task Force Operasi Pematuhan mengarahkan penutupan 59 kilang yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) sejak 1 Jun lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat semalam, pasukan itu sudah pun melakukan pemeriksaan ke atas 268 buah kilang di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 75 kilang turut dikenakan kompaun kerana pelanggaran SOP yang bermula awal bulan ini sehingga semalam susulan kerajaan menerima banyak aduan berhubung pihak industri yang tiada dalam senarai perkhidmatan perlu tetapi masih terus beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, kerajaan meningkatkan operasi pemantauan dan bertindak tegas terhadap pengusaha perkilangan yang ingkar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan pelanjutan tempoh sekatan tambahan bagi kemasukan pengembara ke Wilayah Persekutuan Labuan ekoran situasi terkini Covid-19 sehingga 30 Jun ini dengan mengambil kira keadaan semasa wabak tersebut.

Sekatan tambahan ini mula dilaksanakan pada 27 Mei lalu selama 14 hari yang sepatutnya telah berakhir semalam bagi membendung penularan Covid-19 di pulau bebas cukai itu.

Pengembara bukan penduduk Labuan diwajibkan menjalani ujian pengesanan RT PCR dengan tempoh tiga hari sebelum tiba dan dikuarantin wajib selama 14 hari di hotel ditetapkan.

Sementara penduduk asal Labuan pula dikehendaki kuarantin kendiri selama 10 hari di rumah manakala penjawat awam diberi pilihan kuarantin sama ada di hotel atau kediaman sendiri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN