300 pekebun pisang terjejas - Utusan Malaysia

300 pekebun pisang terjejas

RAZMAN Zakaria (kanan) ketika bertemu pemborong hasil pertanian berikutan kesukaran memasarkan hasil pertanian disebabkan PKP di Batu Kurau, semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sektor ekonomi dan sosial ketika ini menjejaskan pasaran produk pertanian terutama pisang yang tidak lagi mendapat permintaan tinggi seperti mana biasa.

Pemborong pisang di Kampung Bawah Gunung, Kampung Perak, Batu Kurau, di sini, Ilyas Nasib, 53, berkata, kebiasaannyam setiap hari, dia membeli dan memasarkan sekitar satu hingga empat tan metrik untuk pasaran luar terutama di utara tanah air.

Katanya, sejak wabak Covid-19 melanda, disusuli beberapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia berdepan masalah untuk memasarkan pisang yang dibelinya daripada penduduk sekitar.

Katanya, peraih luar tidak dapat datang ke pusat pengumpulan pisangnya kerana tidak mendapat kebenaran atau permit.

“Pasaran ada, tapi, masalahnya ialah peraih luar yang nak datang ke sini untuk mengambil pisang, difahamkan mereka tidak mendapat permit dari pihak berkenaan.

“Keadaan itu menyebabkan saya tidak berani membeli hasil pisang penduduk dan secara tidak langsung pekebun pula berdepan masalah menjual hasil tanaman mereka.

“Akibatnya, ada pekebun yang terpaksa berputih mata melihat tanaman pisang mereka yang sudah berbuah, musnah akibat serangan penyakit yang menyebabkan pokok menjadi kuning dan mati,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Katanya, selain pisang, pekebun durian di sini juga gusar memandangkan musim durian gugur dijangka awal bulan Ogos ini.

Menurutnya, pekebun durian bimbang jika keadaan sekarang berterusan, ia akan menjejaskan permintaan untuk raja buah itu.

“Sebagai pengusaha durian dan peraih di sini, saya telah membuat perancangan awal dengan berjumpa beberapa pengusaha-pengusaha kilang makanan berasaskan durian bagi membolehkan hasil durian penduduk dapat dijual,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan mengatasi isu hasil pertanian seperti pisang yang tidak dapat dipasarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, lebih 300 pekebun yang mengusahakan tanaman pisang di sekitar Batu Kurau tidak dapat memasarkan hasil mereka kerana pemborong luar tidak dapat membeli dalam kuantiti yang banyak.

“Pemborong tidak berani membeli dengan banyak kerana permintaan pembeli yang terdiri dari peniaga pasar malam, pasar pagi tidak berniaga pada ketika PKP ini,” katanya selepas bertemu dengan pemborong hasil pertanian di Batu Kurau di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Fama negeri, Noorsham Ramly.

Sehubungan itu, Razman berkata, kerajaan negeri dan Fama sedang berusaha mengatasi hasil tanaman pisang yang tidak dapat dipasarkan.

“Pekebun perlu segera memaklumkan kepada pihak Fama, seminggu sebelum mereka menuai hasil bagi membolehkan Fama membantu mereka memasarkan hasil tanaman,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya