113 bekas pesakit dijangkiti semula Covid-19 - Utusan Malaysia

113 bekas pesakit dijangkiti semula Covid-19

ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Virus Covid-19 tidak pernah ‘tidur,’ malah, boleh menyerang sekali lagi terhadap mereka yang pernah dijangkiti wabak itu biarpun telah diisytiharkan sembuh daripada jangkitan sebelum ini.

Situasi itu terbukti apabila seramai 113 individu dikenal pasti mendapat jangkitan semula Covid-19 di negara ini sejak penularan wabak itu dikesan bermula awal tahun lepas sehingga 11 Jun lalu.

Ia sekali gus membuktikan tiada siapa kebal daripada jangkitan virus itu dan ia mampu menjangkiti semula sebagaimana turut berlaku di negara-negara luar, apatah lagi dengan kemunculan varian-varian baharu yang lebih ganas dan berbahaya.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, seramai lapan daripadanya adalah dalam kalangan kanak-kanak kurang 18 tahun manakala selebihnya adalah orang dewasa.

Kata beliau, kebanyakan daripada kes berkenaan merupakan jangkitan daripada kluster dengan merekodkan sebanyak 85 kes, berbanding 28 kes sporadik yang lebih kurang separuh daripada kes itu mendapat jangkitan semula selepas enam bulan (58 kes).

“Bagaimanapun, bilangan kes yang telah dikenal pasti mendapat jangkitan semula Covid-19 itu hanya meliputi 0.02 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan wabak.

“Beberapa kajian dari luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Denmark melaporkan bahawa kadar jangkitan semula Covid-19 adalah sangat rendah iaitu kurang satu peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kajian turut menunjukkan bahawa 77 hingga 83 peratus pesakit yang pernah dijangkiti Covid-19 terlindung daripada jangkitan semula,” katanya di sini semalam.

Adham berkata, sehubungan itu, bekas pesakit juga tidak terkecuali untuk mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan supaya tidak terdedah kepada jangkitan semula dengan mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan selain melaksanakan tanggungjawab sosial dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, Adham turut memberitahu, terdapat segelintir yang terkesan dengan Sindrom Post Covid iaitu suatu keadaan di mana bekas pesakit Covid-19 masih menunjukkan gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih dan ia tersebut tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif.

Katanya, keadaan itu berpunca daripada komplikasi jangkitan Covid-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh seseorang individu sebagaimana garis panduan yang dikeluarkan The National Institute for Health and Care Excellence (NICE), United Kingdom pada 18 Disember tahun lalu berhubung Long Covid atau Sindrom Post Covid itu.

Menurut kajian klinikal yang dijalankan Kementerian Kesihatan melibatkan 1,004 pesakit daripada kategori empat dan lima yang menerima rawatan susulan, didapati 66 peratus daripada pesakit ini mengalami Sindrom Post Covid.

“Antara lima simptom yang kerap dialami bekas pesakit Covid-19 adalah kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan kegelisahan.

“Sehingga kini, rawatan yang ditawarkan adalah berdasarkan simptom yang dipamerkan pesakit dan fungsi tubuh yang terlibat, oleh itu rujukan kepada bidang kepakaran yang berkaitan akan dilakukan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan klinikal yang optimum,” katanya.

Katanya, pesakit-pesakit Covid-19 yang discaj dari hospital akan diberikan janji temu rawatan susulan dan mereka diingatkan untuk hadir mengikut tarikh ditetapkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×