JOHOR BAHRU: Pengagihan tender kerja-kerja mencetak kepada syarikat yang dibuat secara ‘tangkap muat’ dan tidak memenuhi syarat mengakibatkan operasi kira-kira 100 syarikat percetakan Melayu di seluruh negara semakin tenat.
Malah, syarikat-syarikat itu yang melabur ribuan ringgit untuk membeli peralatan dan mesin canggih sebelum pandemik Covid-19 kini hanya tinggal dua atau tiga bulan sahaja lagi sebelum gulung tikar ekoran aliran tunai mereka yang terjejas teruk.
Penasihat Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM), Muhammed Farhan Basheer menegaskan, ahli persatuan itu kini tidak lagi mampu bertahan lama kerana banyak agensi kerajaan yang menawarkan kerja-kerja mencetak kepada syarikat bukan ahli yang tidak layak.
“Dengan kesan buruk dan perubahan norma kehidupan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19, tender atau kerja mencetak yang ditawarkan semakin terhad sehingga rata-rata ahli persatuan tidak lagi mampu meraih pendapatan untuk melunaskan bayaran ansuran bulanan masing-masing.
“Malah, dalam keadaan ekonomi meruncing ini, ada syarikat pencetak tidak berkelayakan dan bukan ahli yang memperoleh tender pembekalan yang dikhususkan kepada pencetak Bumiputera seperti yang pernah didedahkan sebelum ini.
“Sebenarnya, PPPMM sedia membantu kerajaan atau agensi-agensinya untuk mengenal pasti syarikat yang layak walaupun mereka bukan ahli persatuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Untuk itu, kata Muhammed Farhan, PPPMM mendesak kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) memantau komitmen institusi perbankan mahupun syarikat kredit supaya menyediakan pakej moratorium susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini bagi meringankan beban kewangan komuniti perniagaan serta perusahaan itu.
Jelas Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor itu juga, pakej moratorium itu adalah harapan terakhir kepada kira-kira 100 ahli PPPMM untuk bertahan dan meneruskan kelangsungan dalam industri.
“Berikutan perubahan teknologi mesin percetakan dan penjilidan yang semakin canggih, ahli PPPMM terpaksa membuat pelaburan yang besar untuk membeli mesin baharu sebelum tahun 2020 lalu supaya operasi mereka lebih efisien seiring dengan perkembangan pasaran.
“Oleh kerana harganya yang mahal, ramai ahli persatuan membuat pinjaman bank mahupun syarikat kredit berlesen untuk meningkatkan daya saing syarikat sekali gus memenuhi tuntutan pelanggan yang mahu kerja-kerja mencetak disiapkan dengan kadar lebih pantas,” katanya.
Muhammed Farhan berkata, selain terbeban dengan ansuran bulanan yang tinggi, aliran tunai ahli semakin kritikal kerana mereka perlu menanggung pelbagai kos operasi khususnya gaji pekerja yang dianggarkan antara 15 hingga 500 orang serta harga kertas yang semakin mahal.
Pada masa sama, katanya, ahli PPPMM menanggung kerugian berjumlah jutaan ringgit kerana buku-buku dan majalah yang diterbitkan tidak laku di pasaran.
“PPPMM mendesak kerajaan menjalankan peranan dan tanggungjawab dengan penuh berintegriti berhubung urusan pengagihan kerja-kerja atau tender mencetak kepada pencetak bumiputera,” katanya. -UTUSAN ONLINE










