Wake Up 4 Aqsa solidariti untuk Palestin - Utusan Malaysia

Wake Up 4 Aqsa solidariti untuk Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bakal menganjurkan pelbagai program susulan bagi membantu misi kemanusiaan di Palestin terutama Semenanjung Gaza.

Ia selepas kejayaan pelancaran program bicara Wake Up 4 Aqsa yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam.

“Acara ini akan menjadi titik mula kepada gerakan Yadim untuk membangkitkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan solidariti kepada saudara di Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Agensi itu merujuk nasib malang penduduk Palestin yang ditindas secara ganas dan tanpa perikemanusiaan oleh askar rejim Zionis sejak 10 hari lalu, apatah lagi kekejaman yang dilakukan itu bukanlah perkara baharu, bahkan telah berlanjutan lebih tujuh dekad dengan jutaan orang awam Palestin terbunuh, hilang tempat tinggal dan harta benda.

Sebagai entiti dakwah ujarnya, Yadim akan menggerakkan usaha kefahaman, penyebaran mesej perjuangan serta mengangkat naratif akidah dan kemanusiaan dalam isu Palestin.

“Yadim akan melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, jaringan akademik dan individu dalam kempen jangka sederhana serta panjang,” katanya.

Pelbagai aktiviti jelasnya, bakal menyusul selepas ini termasuk gerakan kutipan dana dengan sasaran RM100,000 untuk disalur menerusi inisiatif Aid4APalestine yang dilancar kelmarin meliputi misi kemanusiaan dan pembinaan semula fasiliti awam yang musnah dibedil pasukan rejim Israel khususnya sekitar Semenanjung Gaza.

Lebih menyedihkan, tegas Yadim, apabila Masjid Al-Aqsa diceroboh dan diperlakukan biadab oleh rejim Zionis malah ia bukan lagi konflik antara agama tetapi lebih kepada jenayah perang.

“Usaha berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan agar isu Palestin sentiasa relevan dan tersemat dalam hati nurani rakyat Malaysia yang cintakan kepada kedamaian,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya