Vaksin Covid-19: Jangan layan rakyat seperti pengemis - Utusan Malaysia

Vaksin Covid-19: Jangan layan rakyat seperti pengemis

YOUNG SYEFURA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan tidak sepatutnya melayan rakyat seperti pengemis untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Rakyat terpaksa berebut mengakses laman web khas yang disediakan oleh kerajaan untuk memohon mendapatkan vaksin jenis AstraZeneca sama ada untuk slot diri sendiri mahupun keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, kesesakan yang berlaku dalam sistem pendaftaran itu membuktikan bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah satu program yang gagal mencapai sasaran.

“Pendaftaran secara talian yang dibuka untuk kali ketiga hari ini, tetap mengecewakan apabila rakyat gagal mengakses sistem itu sebaik mungkin selepas ia boleh digunakan pada awal Mei lalu.

“Ini adalah pendaftaran untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca kali ketiga dilaksanakan, namun, amat mengecewakan apabila kesilapan dan ketidakcekapan sama, masih lagi berulang.

“Terdapat kekecohan pendaftaran yang hanya melibatkan lima buah negeri… namun, masih ada beberapa buah negeri lain termasuk Pahang yang belum diberi peluang mendaftar secara sukarela untuk menerima vaksin AstraZeneca,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Hari ini, pendaftaran secara dalam talian bagi vaksin AstraZeneca telah dibuka kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas yang tinggal di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, dan Sarawak (yang melibatkan Kuching dan Miri sahaja).

Young Safurra berkata, vaksinasi adalah hak asasi rakyat apabila sesuatu wabak penyakit menyerang tamadun manusia dan kerajaan seharusnya tidak patut melayan rakyat sedemikian rupa.

“Saya difahamkan sebanyak RM70 juta diperuntukkan untuk membina sistem ini namun ia kelihatan seperti sistem yang dibina dan diselenggara dengan tidak baik, tidak setimpal dengan harga kos dikeluarkan.

“Selain itu penerimaan vaksin bukan sahaja lambat, ramai juga rakyat yang sepatutnya divaksinasi tidak mendapat vaksin mereka.

“Masih terdapat ramai warga emas diklasifikasikan sebagai golongan berisiko tinggi masih lagi tidak mendapat dos pertama vaksin mereka,” katanya.

Tambah beliau, urusan pembelian vaksin dan juga tataurus pentadbiran PICK secara keseluruhan menggunakan duit cukai rakyat.

“Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar perlu segera menyelesaikan masalah ini.

“Kita minta Khairy mencari jalan agar PICK dapat dijalankan dengan segera dan membaik pulih sistem pengagihan vaksin, baik melalui sukarela untuk vaksin AstraZeneca mahupun vaksin-vaksin lain melalui pendaftaran di aplikasi MySejahtera dan laman web.

“Kesilapan dan ketidakcekapan seperti yang berlaku sekarang ini tidak patut dan tidak boleh berulang lagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya