Transformasi perniagaan koperasi - Utusan Malaysia

Transformasi perniagaan koperasi

Lawatan kerja Presiden ANGKASA ke kedai Koperasi Alhijrah Bandar Sunggala Port Dickson Berhad yang melaksanakan perniagaan peruncitan menggunakan sistem JiMAT di bawah Projek Barang Asas 100 (BA100) ANGKASA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) merangka Pelan Strategik Angkasa 2050 (PESAN50) untuk memastikan gerakan itu mengorak langkah jauh dalam bidang perniagaan.

Perancangan itu terbahagi kepada tiga fasa iaitu pelan jangka pendek yang sudah selesai bagi pembangunan rangka kerja pelaksanaan dan pemantauan pelan strategik serta memperkasakan misi ANGKASA sebagai apeks gerakan koperasi (2017-2020), fasa kedua pula adalah koperasi menjadi pilihan utama perniagaan sebagai pelan jangka sederhana (2021-2030) dan koperasi sebagai gaya hidup bagi pelan jangka panjang (2031-2050) untuk fasa ketiga.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ini diharap dapat mengukuhkan kedudukan ANGKASA sebagai badan yang memainkan peranan secara menyeluruh untuk memacu perniagaan koperasi di negara ini.

Untuk itu menurutnya, ANGKASA memfokuskan lapan sektor peneraju utama iaitu pemborongan dan peruncitan; pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan; pertanian dan industri asas tani; perladangan; hartanah dan industri binaan; inovasi dan teknologi; pembangunan komuniti dan kewangan.

“Ini bertujuan bagi merancang, merangka, mengatur dan melaksanakan skop pembangunan ekonomi malah saya yakin sektor-sektor tersebut mampu menerajui pembangunan perniagaan koperasi negara ini seiring dengan Pelan Transformasi Koperasi (TransKom) dan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.

“Saya melihat perniagaan berasaskan platform digital semakin mendapat perhatian dan tidak mahu gerakan koperasi ketinggalan dalam hal ini. Justeru, saya mahu lebih ramai golongan belia membangunkan dan menyertai koperasi,” katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau berkata, koperasi boleh menyertai Projek Barang Asas 100 (BA100) yang diperkenalkan ANGKASA sebagai usaha perniagaan berasaskan pendigitalan untuk menggerakkan perniagaan koperasi melalui tawaran penjualan barangan asas dengan harga berpatutan melalui platform JiMATbiz.com untuk koperasi yang menjalankan perniagaan peruncitan dan JiMATShop.com untuk pengguna mendapatkan barang keperluan harian secara dalam talian.

ANGKASA juga menjalankan projek inkubasi melalui Projek Pemerkasaan Koperasi (CEP) di mana projek tersebut akan diserahkan kepada koperasi berdaya maju untuk diambil alih sekiranya telah mencapai tahap yang diinginkan.

“Ini bagi memastikan koperasi turut serta dalam aktiviti ekonomi berimpak tinggi seterusnya meningkatkan daya saing gerakan ini dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berharap, ANGKASA sentiasa mencari jalan bagi sektor koperasi untuk terus berinovasi dan menyesuaikan diri dengan keadaan norma baharu untuk meneruskan perniagaan walaupun terpaksa berdepan dengan krisis kesihatan akibat wabak Covid-19.

“Kita perlu membuka mata masyarakat bahawa pelbagai faedah yang boleh didapati dengan menyertai koperasi baik dari segi peningkatan ekonomi atau pembangunan sosial,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya