LONDON: Impian seorang peminat pengesan logam untuk bebas daripada hutang menjadi kenyataan selepas dia berjaya menemukan sebentuk cincin emas empayar Rom.
Cincin itu yang sangat jarang ditemukan bernilai £75,000 (RM403,280) di sebuah padang berlumpur di Somerset.
Bekas anggota tentera yang juga pemandu lori, Kevin Minto bersama rakannya, Phil Costello menjumpai cincin itu ketika sedang melakukan pencarian di sebuah kawasan estet luar bandar.
Cincin purba seberat 48 gram itu memiliki saiz yang luar biasa besar. Ia dihasilkan dengan pertukangan sangat halus selain memaparkan ukiran batu permata bergambar dewi Victory yang sedang mengendalikan kenderaan beroda ditarik dua ekor kuda.
Artifak itu dianggarkan berusia sekitar tahun 297 Masihi. Ia dipercayai pernah dimiliki oleh individu berpangkat tinggi dalam empayar Rom, mungkin seorang jeneral tentera terkemuka.
Cincin itu ditemukan tertanam bersama ratusan keping syiling Rom.
Mahkamah akhirnya memutuskan Minto sebagai penemu sah cincin itu. Pihak Yayasan Warisan Barat Daya telah membeli keseluruhan harta karun itu pada harga £78,010 (RM419,465). Nilai untuk cincin itu ialah £75,000.
Minto menggunakan wang itu untuk melangsikan baki pinjaman perumahannya selepas menemui harta karun tersebut pada 2017.
Sebelum ini, penemuan cincin itu mencetuskan pertikaian undang-undang mengenai hak milik sebenar cincin tersebut selepas pihak penganjur program pencarian membuat tuntutan palsu.
Pakar percaya syiling itu sengaja disembunyikan demi keselamatan sewaktu berlakunya pergolakan politik di wilayah barat daya England pada zaman tersebut.
Himpunan harta karun itu kekal tersimpan rapi tanpa disentuh selama 1,720 tahun sehingga ia dikesan oleh Minto dan Costello ketika menyertai satu aktiviti pengesan logam yang dianjurkan pada tahun 2017. – AGENSI










