Mozek dinding Rom terbesar ditemukan selepas 2,000 tahun tertimbus - Utusan Malaysia

Mozek dinding Rom terbesar ditemukan selepas 2,000 tahun tertimbus

SEBAHAGIAN daripada mozek yang tertimbus hampir 2,000 tahun. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Ahli arkeologi telah mendedahkan mozek dinding Rom terbesar yang akan dipertontonkan kepada umum secara rasmi dalam minggu ini selepas hampir 2,000 tahun dibina.

Karya seni yang menakjubkan itu berketinggian lebih 10 meter dan membentang sepanjang 16 meter di sebuah dinding yang tertimbus di bawah Bukit Oppian berhampiran Colosseum.

Meskipun sebahagian daripada hasil seni itu telah musnah akibat lipatan sejarah dan kerosakan, perincian yang tinggal masih cukup untuk memaparkan ukiran watak bersaiz manusia sebenar sedang bersandar di celah-celah tiang dan tiang seni bina.

Mozek berkenaan memaparkan imej seorang ahli falsafah berjanggut, seekor centaur (makhluk mitologi separuh manusia separuh kuda) dan seorang penyair muda yang me­nerima mahkota daun laurel atas hasil karyanya.

Pasukan ahli arkeologi ma­sih terus membongkar pelbagai perincian menakjubkan di bawah tanah, termasuk satu pelan seni bina terperinci bagi sebuah bandar pelabuhan yang kini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pakar.

Antonio Plescia, kurator arkeologi bagi Jabatan Penyelia­an Warisan Budaya Capitoline, memberitahu Daily Mail bahawa ia merupakan mozek din­ding Rom yang terbesar.

“Ia merupakan sebuah mozek amat bernilai dari segi saiz, kualiti seni dan juga keunikan subjek yang dipaparkan,” katanya.

Para pakar percaya bahawa mozek yang menakjubkan ini dibina sekitar abad pertama Masihi, iaitu ketika kemuncak zaman kegemilangan dan kekayaan Empayar Rom.

Karya seni berkenaan kemungkinan merupakan sebahagian daripada kediaman peribadi. Ia juga mungkin sebahagian daripada Domus Aurea, iaitu sebuah kompleks istana mewah yang dibina oleh Maharaja Nero.

Struktur berkenaan dibina di atas tanah yang dibersihkan berikutan kejadian kebakaran besar Rom pada tahun 64 Masihi, yang memusnahkan hampir tiga perempat daripada bandar   tersebut dalam tempoh sembilan hari.

Maharaja Nero sering dituduh memulakan kebakaran itu sendiri bagi membuka ruang untuk pembinaan istana mewahnya. Namun, pakar-pakar  moden berpandangan bahawa andaian tersebut adalah kurang tepat. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×