Suri rumah rugi RM309,311 ditipu ‘Phone Scam’ - Utusan Malaysia

Suri rumah rugi RM309,311 ditipu ‘Phone Scam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah mengalami kerugian berjumlah RM309,311 gara-gara ditipu ‘pegawai agensi kerajaan’ menggunakan aplikasi bank, semalam. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 55 tahun itu yang menjadi mangsa penipuan Phone Scam pada pukul 4.07 petang.

Beliau berkata, mangsa mendakwa ditipu oleh pemanggil yang menyamar sebagai pegawai daripada agensi kerajaan menyatakan terdapat syarikat yang didaftarkan atas namanya menjalankan kegiatan penggubahan wang haram sejak bulan lalu.

“Mangsa kemudian diminta untuk memuat turun satu aplikasi bank dan mengisi segala maklumat akaun bank dalam aplikasi yang diberikan oleh sindiket itu.

“Selepas mengisi segala maklumat akaun bank, mangsa mendapati terdapat pemindahan wang secara berperingkat dari akaun mangsa sejak 2 April hingga 5 April lalu keempat akaun bank berlainan.

“Ia mengakibatkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM309,311,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Padzli menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila terima panggilan dari individu tidak dikenali yang menyatakan terbabit dengan penggubahan wang haram atau sebarang kes jenayah.

Tambahnya, sekiranya diminta untuk memuat turun sebarang aplikasi menerusi telefon bimbit dan mengisi data berkaitan butiran diri dan akaun bank, dinasihatkan untuk tidak mengikut arahan itu.

“Sekiranya berasa curiga, orang awam boleh terus melaporkan perkara itu ke balai polis berhampiran untuk membuat pertanyaan dan semakan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah, hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian hotline 07-2182323,” katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN