MELAKA: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka dikuatkuasakan semula di negeri ini susulan ketiga-tiga daerah kini berada dalam zon merah melebihi 40 kes positif Covid-19 sejak dua minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kerajaan negeri kini hanya menunggu keputusan penilaian dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, kes positif merekodkan peningkatan sejak dua minggu lalu dengan kebanyakannya disebabkan aktiviti keluar dan masuk negeri sama ada bagi tujuan kerja, pendidikan atau urusan kecemasan.
“Kebanyakan kes berpunca kekerapan perjalanan keluar dan masuk negeri oleh individu-individu terbabit serta kelemahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan orang sekeliling mereka termasuk keluarga, rakan kerja dan komuniti dijangkiti Covid-19.
“Kesemua daerah di Melaka kini juga telah kembali ke zon merah dan tidak mustahil kita akan kembali ke PKPB disebabkan kenaikan kes, namun semuanya bergantung kepada penilaian MKN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun berharap Melaka tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan aktiviti harian masyarakat termasuk merentas daerah.
“Kita terpaksa akur sekiranya dikenakan PKPB, namun saya berharap Melaka tidak akan dikenakan PKP semula kerana negeri ini terlalu kecil dan kalau tidak boleh merentas daerah memang masalah juga.
“Apa-apa pun kita tunggu perkembangan yang akan diumumkan oleh Kerajaan Pusat jika Melaka dikenakan peringkat PKBP,” katanya.
Tambahnya, jumlah kes positif Covid-19 dijangka terus meningkat menjelang Aidilfitri berikutan Jabatan Kesihatan negeri sedang giat melakukan ujian saringan terhadap individu yang dikesan menjadi kontak rapat kluster-kluster baharu.
Dalam perkembangan lain beliau memberitahu, jumlah katil untuk menempatkan pesakit Covid-19 di negeri ini masih mencukupi dengan lebih 40 peratus kosong.
Kelmarin, Melaka mencatatkan sebanyak 61 kes dengan satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Emas di daerah Melaka Tengah.
Kes indeks bagi kluster tersebut merupakan seorang lelaki berusia 39 tahun yang disyaki positif selepas kerap ke kawasan zon merah (Kuala Lumpur) selain menetap di zon tersebut atas urusan kerja.
Jangkitan itu seterusnya merebak dalam kalangan keluarga dan kontak terdekat yang lain dengan setakat ini 10 individu telah dikesan positif Covid-19. – UTUSAN ONLINE










