KUALA TERENGGANU: Serangan bertalu-talu tentera Israel tanpa mengira siang atau malam, tidak pernah menggerunkan Mohammed Istahi, 25, sebaliknya pemuda Palestin itu sentiasa bersedia jika ditakdirkan ajalnya mati syahid.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Istahi berkata, sejak kecil mereka sudah menyaksikan kekejaman rejim membedil Gaza hingga mengorbankan banyak nyawa dan tiada istilah takut untuk mati syahid dalam perjuangan demi tanah air tercinta.
Malah, penuntut Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) itu turut merancang untuk kembali ke pangkuan keluarga di kawasan kejiranan Al-Nasser di Menara Al-Shifa, Bandar Gaza dalam masa terdekat walaupun dalam keadaan konflik di sana pada masa ini.
Kini, dia dalam proses melengkapkan dokumentasi perjalanan pulang ke tanah airnya.
“Setiap masa kami diserang dan saya tidak takut mati syahid, tetapi, saya bimbang jika cedera kerana di Palestin sukar untuk meneruskan kehidupan jika hilang upaya bergerak hingga membebankan ahli keluarga dan orang lain dalam urusan penjagaan serta memberi makanan.
“Namun, kalau ditakdirkan saya syahid dengan ketentuan Allah SWT, pemergian saya cukup bermakna demi melindungi Masjid Al-Aqsa,” katanya di sini semalam.
Menurut Istahi, gencatan senjata oleh Israel bermula semalam memberi khabar gembira yang membolehkannya pulang ke tanah air sebagaimana dirancang sebelum kembali semula ke Malaysia tahun depan untuk menamatkan pengajian.
Dalam pada itu katanya, pertempuran kali ini disifatkan paling sengit dalam sejarah kerana rejim Zionis bukan sahaja memusnahkan penempatan penduduk malah turut menyasarkan bangunan media, hospital dan pusat pentadbiran kerajaan termasuk kementerian.
Katanya, keadaan itu turut mendorong kesemua 10 beradiknya berkumpul di rumah keluarga bersama kedua ibu bapanya di samping lima anak saudara.
“Saya sentiasa berhubung dengan keluarga bagi memastikan keadaan mereka dan situasi semasa di sana.
“Alhamdulillah, setakat ini belum ada lagi ahli keluarga yang terkorban, cuma abang sulung saya pernah terkena letupan bom ketika berjalan pulang daripada membeli barangan makanan di kedai yang terletak lima minit dengan rumah kami pada 2014,” katanya.
Istahi berkata, selama dua minggu abangnya dirawat di Hospital Al-Shifa akibat kecederaan tangan kiri dan bahu, namun mereka sekeluarga bersyukur kerana insan tersayang selamat dan kembali sihat.










