PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan menegaskan menjadi satu kesalahan undang-undang bagi mana-mana pihak membuat kenyataan tidak benar dan menimbulkan kegelisahan awam khususnya mengenai Covid-19
Amaran itu dibuat susulan tular satu rakaman audio ‘Mak Teh’ yang mendakwa 40 orang jururawat meninggal dunia selepas mendapat vaksin Covid-19.
Menurut kenyataan kementerian itu, pihaknya menyangkal dakwaan berkenaan dan kenyataan bahawa vaksin adalah racun merupakan satu dakwaan tidak benar sama sekali seperti didakwa dalam satu audio terbabit.
“Kementerian Kesihatan menasihatkan agar semua masyarakat membimbing mereka yang berada di bawah jagaan agar tidak membuat, berkongsi dan mempercayai maklumat yang tidak benar sebegini.
“Adalah menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang membuat kenyataan yang tidak benar dan menimbulkan kegelisahan awam. Oleh itu, sebelum ia berlaku adalah lebih baik kita mencegahnya dengan nasihat-menasihati antara satu sama lain,” jelas kenyataan itu hari ini.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menempelak golongan yang menyebarkan berita palsu mengenai vaksin mengenai satu rakaman suara tular daripada individu yang menggelar dirinya ‘Mak Teh’.
Klip rakaman suara itu mendakwa 40 jururawat dan staf hospital di seluruh Malaysia meninggal dunia selepas divaksin dan maklumat itu disembunyikan pihak berkuasa.
Mak Teh bercakap loghat utara dalam rakaman itu turut menyarankan penerima vaksin minum air kelapa (ayaq nyoq) bertujuan membersihkan daripada ‘racun’.
Dr. Mahathir turut membidas dakwaan yang menyatakan pengambilan air kelapa boleh menyembuhkan jangkitan Covid-19.










