Rakyat Terengganu degil punca kes harian Covid-19 tiga angka berturut-turut? - Utusan Malaysia

Rakyat Terengganu degil punca kes harian Covid-19 tiga angka berturut-turut?

DR. NOR AZIMI YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jumlah kes harian Covid-19 di Terengganu yang naik kepada tiga angka berturut-turut dalam tempoh dua hari ini dikatakan berpunca akibat sikap sambil lewa rakyat negeri ini yang tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, kebanyakan kes kluster yang dikesan adalah disebabkan pelanggaran SOP termasuk ada yang turut memperlekehkan aspek pematuhan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau tidak terkejut dengan perkembangan terkini Covid-19 di negeri ini yang merebak pantas disebabkan tatalaku masyarakat yang tidak patuh kepada SOP.

“Saya kongsikan beberapa kisah kluster yang disahkan tiada pematuhan SOP antaranya kes 18 kawan melepak di sebuah rumah kosong di Setiu dan akhirnya 17 disahkan positif termasuk ahli keluarga dan seramai 162 kontak rapat dikesan.

“Di samping itu, penganjuran majlis berbuka puasa membabitkan seramai 20 orang telah mencetuskan Kluster Bukit Bauh di Dungun dengan 78 kes positif dan 496 kontak rapat hingga merebak pula ke Kuala Terengganu apabila kes berkenaan berdiskusi dan moreh di kedai makan sekali gus menyebabkan dua rakan lain turut positif,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook hari ini.

Menurut Nor Azimi, kegembiraan mengadakan aktiviti memasak secara beramai-ramai bagi majlis iftar di sebuah surau di Marang bertukar tragedi apabila 26 orang disahkan positif.

Katanya, kisah terbaharu pula membabitkan seorang individu yang baharu pulang daripada mesyuarat di Kuala Lumpur dan datang ke pejabat tanpa membuat penilaian risiko hingga mengakibatkan 36 orang positif di samping ribuan kontak terpaksa disaring.

“Berpuluh-puluh kisah boleh dikongsi untuk iktibar bagi mengesahkan SOP rakyat ‘ke laut’ sebab mereka menganggap semua itu rekaan dan menyusahkan.

“Jangan ambil mudah kebolehjangkitan virus Covid-19 ini, semua pemimpin masyarakat termasuk ketua jabatan sila pastikan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat mahu pun pekerja masing-masing di samping tangguhkan semua majlis perkumpulan, tidak ada guna peraturan PKP kalau masih ada yang bersukaria,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya