KUALA TERENGGANU: Kayu balak bersaiz luar biasa yang tular dalam laman sosial diambil dari kawasan usahasil berlesen di kompartmen 80, Hutan Simpan Sungai Nipah di Kemaman.
Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani berkata, proses pemindahan muatan balak itu ke kilang di Rawang, Selangor dibuat mengikut peraturan sedia ada menerusi kelulusan yang diberikan sejak 2017 lagi.
Katanya, pemberian lesen membalak kepada syarikat terlibat pula berkuat kuasa dari Ogos 2019 hingga Ogos tahun lalu sebelum dilanjutkan hingga April lepas.
“Pada 10 Mei lalu, satu permohonan dibuat oleh pelesen, Syarikat Zee Utuh Enterprise kepada Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan untuk memindahkan kayu itu ke Kilang Hong Seng Sawmil Co. di Rawang dan permohonan tersebut diluluskan pada 18 Mei 2021.
“Sehubungan itu, empat tual balak dikeluarkan dalam satu pas pemindah di Balai Pemeriksa Hutan Durian Mas di Dungun pada 23 Mei lalu menerusi lori bernombor pendaftaran BQB 5512,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Semalam, tular dalam laman sosial Facebook sebuah lori membawa kayu balak bersaiz luar biasa yang dirakam ketika berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) Temerloh arah Barat, Lebuh Raya Pantai Timur.
Pemeriksaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mendapati, maklumat lori dan kayu yang dibawa adalah bersamaan dengan yang dinyatakan dalam pas pemindah dikeluarkan Jabatan Perhutanan Terengganu.
JPNP dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya menahan lori seperti ditularkan berkenaan di R&R Gombak arah Barat dan difahamkan, muatan kayu balak berkenaan untuk dihantar ke sebuah kilang di Selangor.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri tidak boleh membatalkan kelulusan yang dibuat oleh pentadbiran kerajaan terdahulu kerana syarikat terlibat telah mengeluarkan perbelanjaan untuk pelbagai perkara berkaitan.
“Jika dibatalkan kerajaan negeri boleh disaman atau diambil tindakan undang-undang termasuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terdedah kepada isu integriti,” katanya.










