ALOR SETAR: Sebuah premis menjual produk kecantikan dikenakan kompaun RM25,000 kerana beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, premis kecantikan itu bukan dikategori sebagai perkhidmatan perlu dan dilarang beroperasi ketika PKPD.
“Kesalahan itu dikesan oleh pasukan pemantau yang membuat rondaan di sekitar pusat bandar raya Alor Setar semalam pada pukul 2.15 petang,” katanya di sini hari ini.
Selain itu beliau berkata, sebanyak 13 kompaun dikeluarkan pasukan pemantau Op Covid-19 IPD Kota Setar terhadap individu dan premis yang didapati masih ingkar dengan arahan dan prosedur operasi standard (SOP) PKPD semalam dan hari ini.
“Antara kesalahan lain yang dikesan sepanjang dua hari itu antaranya merentas daerah tanpa kebenaran polis serta beberapa kesalahan lain,” jelasnya.
Tambahnya, penguatkuasaan juga tertumpu di laluan tikus memasuki daerah Kota Setar.
“Hasil daripada pemantauan mendapati beberapa kenderaan dikesan cuba menyusup masuk ke daerah Kota Setar menggunakan laluan bendang yang dijadikan sebagai laluan tikus.
“Beberapa daripada kenderaan yang bertindak sedemikian semasa pemantauan dijalankan ditahan untuk tujuan pemeriksaan.
“Hasil daripada itu, hari ini dua individu dikenakan kompaun masing-masing RM5,000 setelah gagal mengemukakan sebarang dokumen rentas daerah daripada polis,” katanya.
Tambah beliau, pemantauan pihak polis turut mendapati jumlah kenderaan agak berkurangan di kawasan yang terlibat selepas pelaksanaan PKPD di daerah ini.
Jelasnya, semakan dengan pihak lebuh raya mendapati bahawa statistik pada minggu sebelumnya iaitu bermula 12 Mei hingga 16 Mei mendapati kenderaan yang bergerak keluar dan masuk dari Kota Setar adalah berjumlah sebanyak 51,917 kenderaan.
Tambahnya, selepas PKPD dikuat kuasa, minggu kajian yang bermula 19 Mei hingga 23 Mei, mendapati hanya terdapat 32,712 kenderaan yang keluar dan masuk ke dalam kawasan PKPD di daerah ini.
“Pergerakan keluar masuk ke dalam kawasan PKPD (Kota Setar) menunjukkan penurunan sebanyak 36.99 peratus,” katanya.










