MONTERREY, Mexico: Sweden memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan apabila membelasah Tunisia 5-1 dalam aksi Kumpulan F, sekali gus mengambil alih kedudukan teratas kumpulan berkenaan.
Skuad The Blue and Yellow itu mempamerkan aksi bertenaga sejak wisel permulaan apabila mendahului seawal minit ketujuh menerusi rembatan jarak jauh menarik Yasin Ayari yang gagal diselamatkan penjaga gol Tunisia.

Sweden terus mengukuhkan penguasaan apabila penyerang utama mereka, Alexander Isak menambah jaringan kedua pada minit ke-30 untuk meletakkan pasukannya selesa di hadapan.
Tunisia yang cuba bangkit berjaya merapatkan kedudukan menerusi Omar Rekik sebelum tamat babak pertama, sekali gus menghidupkan semula harapan pasukan Afrika Utara itu.
Bagaimanapun, Sweden tidak menunggu lama untuk bertindak balas apabila Viktor Gyokeres menjaringkan gol ketiga pada minit ke-59 bagi mengembalikan kelebihan dua gol pasukannya.

Mattias Svanberg kemudian melebarkan jurang kepada 4-1 sebelum Ayari melengkapkan malam gemilangnya dengan gol kedua peribadi menerusi satu lagi jaringan menarik untuk mengesahkan kemenangan besar Sweden.
Keputusan itu meletakkan Sweden dalam kedudukan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya, manakala Tunisia perlu segera bangkit dalam perlawanan berikutnya bagi menghidupkan peluang mereka dalam saingan Kumpulan F. – AGENSI.










