Politik dinamik itu mungkin UMNO dengan Bersatu - Guan Eng - Utusan Malaysia

Politik dinamik itu mungkin UMNO dengan Bersatu – Guan Eng

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP menolak polemik ‘jajaran baharu’ antara UMNO dengan parti itu berikutan perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan di peringkat kepimpinan masing-masing apatah lagi antara kedua-dua pihak.

Malah, maksud politik dinamik yang pernah diberitahu oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dikatakan tidak semestinya menjurus kepada kerjasama dengan DAP.

Perkara itu dijelaskan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, kemungkinan jajaran baharu yang dimaksudkan UMNO adalah kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berikutan mereka berada dalam pihak yang sama.

Kata Ahli Parlimen Bagan Serai itu, dinamik itu juga mungkin boleh jadi cabaran UMNO yang terpaksa menerima hakikat mereka kelihatan tidak selesa berada dalam kerajaan apabila kerap mengkritik dasar.

“Dengan ikhlas saya jawab, kita tidak ada perbincangan pun, jadi perkara ini tidak sepatutnya timbullah. Kerana apa yang dimaksudkan dengan dinamik, saya pun belum baca lagi.

“Kalau mereka sebut dinamik, saya rasa itu mungkin soal kedudukan UMNO yang berada dalam keadaan kekok dan luar biasa hentam kerajaan tetapi masih ada dalam kerajaan. Itu perkara yang UMNO kena selesaikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Analisis dalam Mingguan Malaysia semalam memetik kenyataan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Achmad Dzariean Mohd. Nadzri yang mendakwa kerjasama parti berseteru itu boleh terjadi.

Beliau berkata, perkara itu timbul apabila Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyatakan akan ada penjajaran baharu dengan melahirkan pandangan bahawa politik adalah dinamik, namun tidak memaklumkan dengan jelas jika jajaran baharu itu adalah bersama DAP.

Walau bagaimanapun, jajaran baharu itu turut dinafikan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii yang menyatakan, mustahil UMNO akan bergabung dengan musuh utama orang Melayu.

“Dari dahulu, orang Melayu tak boleh terima DAP, mana mungkin hendak bincang, hendak buka mulut pun tak bolehlah. Bukan sahaja tak pernah sebut, memang tak ada dalam pemikiran.

“Kalau sebut, maksudnya adalah dalam pemikiran. Ini memang tak ada dalam pemikiran. DAP ini dahulu kini dan selamanya adalah musuh kepada orang Melayu, takkanlah kita hendak sokong DAP,” tegasnya.

Tambah Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh itu, beliau mendakwa polemik ini sengaja ditimbulkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan musuh-musuh lain UMNO untuk memecah-belahkan parti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×