KANGAR: Polis akan membuat pemeriksaan di kawasan perumahan dan sekitar kediaman di daerah ini bagi memastikan tiada individu dari luar Perlis yang merentas negeri kunjung-mengunjung sempena Hari Raya Aidilfitri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa hari ini.
Pemerhatian tersebut juga akan tertumpu sekiranya terdapat banyak kenderaan dari luar negeri ini di sesebuah rumah terbabit.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew memberitahu, pihaknya akan mengunjungi rumah yang didapati banyak kereta serta mempunyai nombor pendaftaran dari luar.
“Kita tahu yang nombor pendaftaran kereta itu boleh dibeli, namun bila ada nombor plat luar itu akan wujud syak wasangka.
“Pasukan pemantau kita akan pergi menanyakan sama ada mereka menetap di sini atau datang dari negeri lain. Jika datang dari negeri lain, mereka perlu mempunyai surat kebenaran yang sah bagi mengelak dikenakan tindakan kompaun,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini hari ini.
Tambah Wari, sebarang majlis sambutan Aidilfitri atau lain-lain berkaitan tidak dibenarkan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Katanya, bagi memastikan SOP dipatuhi oleh penduduk serta mengelakkan individu dari negeri lain merentas negeri, sekatan jalan raya (SJR) bergerak akan diadakan dengan menumpukan kepada tiga kawasan iaitu Kangar, Kuala Perlis dan Simpang Empat.
“Seramai 137 pegawai dan anggota terdiri daripada polis, askar dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat dalam operasi yang dijalankan selama 24 jam itu. Ini termasuk mereka yang terlibat dalam SJR bergerak dan pemantau ke rumah.
“SJR bergerak ini adalah sebagai inisiatif kedua selepas SJR di sempadan supaya tidak ada yang terlepas melalui jalan tikus selain memastikan mereka yang menaiki kenderaan mematuhi SOP iaitu hanya tiga orang di dalam sesebuah kenderaan,” katanya.
Terdahulu, SJR bergerak itu telah diadakan kira-kira satu jam bermula pukul 10.30 pagi di Kangar, Kuala Perlis dan Simpang Empat.
Katanya, dalam SJR tersebut, didapati beberapa kereta yang dinaiki lebih daripada tiga orang tanpa surat kebenaran diarahkan berpatah balik.
Dalam masa sama, pemantauan serta pemeriksaan turut dijalankan di beberapa rumah sekitar Kangar, Kuala Perlis dan Simpang Empat selepas mendapati jumlah kenderaan banyak di kediaman terbabit.
Operasi bermula pukul 10.30 pagi dan berakhir kira-kira dua jam kemudian itu melibatkan tiga pasukan yang diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintenden, Mohd Anuar Jusoh.
Bagaimanapun, tiada kompaun yang dikeluarkan dalam operasi tersebut.










