PUTRAJAYA: Siapa kata hidup bermadu itu manis? Berkongsi suami dengan insan ketiga (keempat atau kelima) bukanlah semuanya indah, malah perkongsian hidup itu boleh membawa akibat lebih buruk lagi.
Persepsi masyarakat sering mengaitkan kanser pangkal rahim dengan tabiat seksual rambang, sedangkan penyakit jangkitan Human Papillomavirus (HPV) itu boleh berlaku kepada satu pasangan sahaja, malah lebih berisiko jika pasangan mengamalkan poligami.
Menurut Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan (Kanser Ginekologi) dari Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Zailani Hatta Mohd. Dali, jika pasangan pernah bercerai dan berkahwin semula turut berisiko sama dijangkiti HPV.
Jelas beliau, orang lelaki boleh menjadi pembawa virus HPV kerana mereka tidak mempunyai rahim seperti wanita yang tidak memungkinan mereka menghidap kanser pangkal rahim.
“Bagi keluarga yang mempunyai lebih daripada satu isteri, sekiranya salah seorang isteri menghidap penyakit kanser pangkal rahim, kebarangkalian isteri yang lain untuk menghidapnya juga agak tinggi kerana si suami bertindak sebagai pembawa virus tersebut.
“Oleh itu, janganlah kita hanya menuduh orang lain mempunyai hubungan seks rambang apabila mereka menghidap kanser tersebut. Tuduhan itu hanya menunjukkan betapa kurangnya pengetahuan kita tentang kanser pangkal rahim,” katanya di sini semalam.
Ahmad Zailani Hatta berkata, risiko jangkitan HPV juga tinggi sama ada sudah berkahwin atau tidak, asalkan individu tersebut mengadakan hubungan seks.
Kata beliau, masyarakat perlu tahu bagaimana jangkitan HPV boleh berlaku yang mana secara dasarnya, virus tersebut adalah sejenis bendasing yang boleh menjangkiti tidak kira lelaki atau perempuan.
Bagaimanapun beliau berkata, tubuh seseorang sebenarnya mampu melawan jangkitan HPV secara semula jadi sekiranya mempunyai sistem imun yang kuat.
Namun, apabila jangkitan ini berlaku berulang kali, kebarangkalian untuk ia bermutasi menjadi kanser adalah sangat tinggi.
“Saya tidak bersetuju dengan pandangan masyarakat yang sering menuding jari kepada kaum wanita apabila mereka menghidap kanser pangkal rahim. Ramai menganggap pesakit kanser pangkal rahim mempunyai tabiat seksual seperti terlalu aktif dan kerap bertukar pasangan,” katanya.
Beliau menjelaskan, bagi pasangan yang mengamalkan monogami tanpa mempunyai hubungan seksual dengan orang lain selain suami isteri juga masih boleh dijangkiti HPV kerana sifat virus tersebut juga sebenarnya boleh didapati di sekeliling manusia termasuklah pada tangan, pakaian dan permukaan benda.
Katanya, apabila virus tersebut terdedah kepada pangkal rahim seorang wanita, ia boleh berkembang menjadi kanser pada masa hadapan.
“Kita perlu faham, kanser pangkal rahim ini adalah sejenis penyakit yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk bermutasi.
“Sebab itu apabila seorang wanita sudah berumah tangga, doktor sakit puan akan menyarankan supaya wanita tersebut membuat ujian pap smear setiap tiga tahun apabila ujian pertama jelas menunjukkan keputusan normal,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebarangkalian untuk dijangkiti HPV walaupun menggunakan kondom apabila mengadakan hubungan intim adalah lebih tinggi berbanding HIV.
Ini kerana katanya, HIV tersebar menerusi bendalir dalam badan, sedangkan HPV pula tersebar menerusi sentuhan.
Bagaimanapun, kata beliau, jangkitan HPV masih boleh dibendung dengan suntikan vaksinasi yang lazimnya diberikan sebanyak tiga dos dalam tempoh 6 bulan untuk melengkapkan antibodi wanita melawan virus tersebut.
“Kita sebagai rakyat Malaysia dianggap bertuah kerana kerajaan menggalakkan suntikan vaksinasi tersebut diberikan kepada pelajar perempuan dari usia persekolahan lagi. Ada negara Barat seperti Australia yang mewajibkan vaksinasi HPV kepada kedua-dua pelajar lelaki dan perempuan dalam usaha mengawal risiko kanser yang berpunca daripada HPV.
“Ada juga negara lain yang tidak mempunyai program vaksinasi seperti ini langsung. Sebab itu, kita perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan Malaysia boleh menjadi negara yang sifar kanser pangkal rahim pada masa akan datang,” katanya.
Mohd. Zailani Hatta turut mengingatkan, selain daripada kanser pangkal rahim, HPV juga boleh menyebabkan kanser lain termasuk kanser alat kelamin dan kanser hidung (nasopharyngeal).











