PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat akan memberi fokus kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum berbanding pemilihan parti yang kini ditangguhkan.
Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil berkata, PKR sudah mengukuhkan jenteranya termasuk mengadakan siri temu rapat pimpinan di peringkat negeri yang kini berjalan dengan baik.
“Jadi untuk isu pemilihan, apatah lagi jawatan Timbalan Presiden tidak menjadi fokus kerana sejak berlaku pengkhianatan Langkah Sheraton, parti telah berusaha untuk merapatkan semula kepimpinan di peringkat pusat dan cabang-cabang.
“Maka maka dari segi itu, semua berjalan dengan baik,” ujarnya kepada Mingguan Malaysia
Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, pemilihan parti tidak akan diadakan pada tahun ini dan ia ditangguhkan selama tempoh tidak melebihi 18 bulan.
Fahmi berkata, parti itu mempunyai ramai calon yang layak untuk memegang jawatan tersebut, malah turut diyakini individu yang menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu lebih setia dalam perjuangan parti.
“Saya percaya PKR ada ramai pemimpin yang berupaya dan apabila tiba masanya, mereka yang menawarkan diri untuk jawatan tersebut akan menunjukkan kesetiaan mereka kepada parti. Bukan itu sahaja, malah mesti juga ada keupayaan bergerak secara berpasukan.
“Kita ada ramai pemimpin yang berkaliber, setia dengan parti dan perjuangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, jawatan Timbalan Presiden dipegang Azmin sejak 2010 dan akhirnya beliau memilih jalan untuk bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), kini dilantik Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Langkah beliau keluar daripada PKR itu turut disertai beberapa pimpinan lain termasuk Zuraida Kamaruddin yang sebelum ini Ketua Wanita PKR dan kini memegang portfolio penting iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Salah satu masalah Azmin, dia wujudkan pasukan dalam pasukan, itu adalah sifat yang kita lihat yang sehingga hari ini dibawa sampai ke Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Jadi saya ucapkan selamat maju jaya dengan sikap tersebut,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE










