PKPD: Orang ramai dinasihat tidak buat pembelian panik - Utusan Malaysia

PKPD: Orang ramai dinasihat tidak buat pembelian panik

PELANGGAN berbaris membeli barang keperluan ketika tinjauan di sebuah pusat beli-belah di Ipoh. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat mukim di negeri ini bermula esok.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, ini kerana barangan keperluan asas sepanjang tempoh tersebut adalah mencukupi dan mudah diperoleh di pasaran seluruh negeri.

Katanya, bekalan barangan di peringkat pemborong, pengilang dan peruncit juga stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.

“Semua pasar awam, pasar raya dan premis peruncitan masih dibuka dan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan kerajaan.

“Oleh itu, pengguna dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik sebaliknya merancang pembelian barangan keperluan berdasarkan kepada keperluan sebenar,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, peniaga, pasar raya dan peruncit juga dinasihatkan supaya melakukan kawalan kendiri dengan menentukan had kuantiti dan jualan barangan yang bersesuaian bagi individu atau keluarga dalam memastikan bekalan barangan keperluan asas pengguna sentiasa mencukupi.

Katanya, mereka juga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan seperti mengaut keuntungan yang tidak munasabah dengan menaikkan harga barangan, mempamerkan harga yang mengelirukan, menyorok barang kawalan serta menipu timbangan semasa PKPD.

“Pemantauan dan pemeriksaan secara harian akan dijalankan di semua premis perniagaan bagi memastikan bekalan barangan keperluan harian mencukupi dan peniaga mematuhi peraturan.

“Tindakan penguatkuasaan dan perundangan yang tegas akan diambil sekiranya peniaga gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN