PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Bergosong, Bahagian Tawau, Sabah bermula esok hingga 15 Mei ini susulan peningkatan kes Covid-19 mendadak dengan 22 kes direkodkan dalam seminggu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan secara bersasar dan seterusnya dapat mengekang penularan kepada komuniti luar.
Beliau berkata, PKPD di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan pula dilanjutkan lagi selama 14 hari lagi sehingga 16 Mei depan.
Ia kata beliau, susulan laporan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penghuni maahad itu dan ada baki sampel ujian saringan yang belum lagi diketahui keputusan makmal.
“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan sudah melaksanakan sebanyak 886 ujian saringan dan daripada jumlah ini, secara kumulatif 422 kes positif wabak itu telah direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu kata Ismail Sabri, PKPD melibatkan dua institusi pendidikan di Kota Kinabalu, Sabah ditamatkan mengikut jadual ekoran trend penurunan kes dan kluster adalah terkawal.
Antaranya ujar beliau, ialah seluruh kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS) di ibu negerinya yang akan berakhir pada esok setelah tiada lagi sampel perlu menunggu keputusan selain Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu selepas semua kontak rapat sudah diasingkan dan dipantau sehingga hari ke-14.
Ismail Sabri turut memberitahu, bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam mula turun dengan 286 individu diberkas semalam berbanding 420 individu ditahan kelmarin.
“Daripada jumlah itu, 284 dikompaun manakala dua direman dengan kesalahan tertinggi ialah gagal merekodkan butiran atau daftar masuk premis,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Kesalahan tersebut ujar beliau, merekodkan sebanyak 125 kes, diikuti tidak memakai pelitup muka (54), tidak mematuhi jarak fizikal (49), aktiviti pusat hiburan (22) dan lain-lain (36).
Tiga orang pendatang asing tanpa izin (PATI) turut ditahan melalui Operasi Benteng semalam selain sebanyak 175 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 1,769 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya dikuarantin yang pada masa ini sejumlah 7,345 individu masih lagi menjalani proses kuarantin.
Seramai 1,740 individu terbabit dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 182,083 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.
“Tiada pekerja asing didapati positif Covid-19 melalui 230 orang menjalani ujian saringan wajib,”katanya. -UTUSAN ONLINE









