ALOR SETAR: Parti Amanah Negara (Amanah) menjelaskan Islam tidak wajar dipersempit sebagai milik eksklusif mana-mana parti politik termasuk Pas sehingga boleh digambarkan seolah-olah meninggalkan agama itu jika tidak lagi bersama Pas.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, Islam merupakan agama suci milik seluruh umat Islam dan tidak boleh disamakan dengan perjuangan sesebuah parti politik.
Menurutnya, tulisan terbaharu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bertajuk ‘Pas Tidak Ditenggelamkan Selagi Bersama Islam’ dilihat menggambarkan seolah-olah parti itu sinonim dengan Islam.
“Apabila Pas menggambarkan bahawa meninggalkan Pas seolah-olah meninggalkan perjuangan Islam, ia adalah pendekatan politik yang berbahaya kepada demokrasi dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.
“Pas berhak membawa ideologi dan perjuangannya, namun parti itu tidak boleh meletakkan ia sebagai paling suci, paling istiqamah dan paling benar dalam mentafsirkan perjuangan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, dalam aspek demokrasi, parti politik boleh dikritik dan pemimpin boleh dipersoalkan selain rakyat berhak menilai rekod pentadbiran serta konsistensi politik mereka.
Katanya, mengkritik Pas bukan bermakna mengkritik Islam selain kritikan terhadap presiden itu juga tidak bermakna mengkritik ulama, sebaliknya kritikan sebagai seorang ahli politik.
Beliau turut mendakwa sejarah politik Pas menunjukkan pelbagai perubahan pendirian dalam kerjasama politik termasuk pernah bekerjasama dengan DAP yang kemudian berpisah dan seterusnya bekerjasama dengan UMNO selepas bertahun-tahun menjadi seteru politik.
“Hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga kini dilihat berdepan pelbagai cabaran dan jika hampir semua rakan politik akhirnya dituduh tidak ikhlas, rakyat berhak bertanya siapa sebenarnya yang gagal membina kepercayaan dalam kerjasama politik,” katanya.
Dalam isu RUU355 dan hudud, ujar Mahfuz, kedua-dua agenda itu pernah dijadikan simbol utama perjuangan Pas menerusi pelbagai siri ceramah dan kempen di seluruh negara.
Bagaimanapun, katanya, ketika Pas berada dalam kerajaan selepas peristiwa Langkah Sheraton, rakyat tidak melihat pelaksanaan besar terhadap agenda yang sering dilaungkan sebelum itu.
“Malah isu RUU355 semakin tenggelam, hudud tidak lagi menjadi fokus utama dan rakyat tidak melihat reformasi besar berkaitan pentadbiran Islam seperti dijanjikan.
“Islam tidak diukur melalui retorik politik, slogan agama atau banyaknya petikan ayat al-Quran dalam kenyataan politik. Sebaliknya, Islam dinilai melalui keadilan, amanah, integriti, kebijaksanaan memimpin serta kemampuan menyatukan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia memerlukan politik yang membawa rahmah, kestabilan dan perpaduan, bukan politik yang memonopoli agama untuk menghalalkan setiap keputusan parti dan Islam juga akan terus mulia tanpa perlu disandarkan kepada mana-mana parti politik.-UTUSAN










