IPOH: Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad mengumumkan penyaluran bantuan pelindung muka atau face shield dan kelengkapan kebersihan (hygiene kit) kepada lebih 5,000 anggota keselamatan yang bertugas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) di negeri ini.
Dalam kenyataannya, Pejabat Menteri Besar berkata, pengumuman itu dibuat dalam pertemuan Menteri Besar bersama pegawai tertinggi pasukan keselamatan yang diadakan secara maya di pejabat beliau hari ini.
Menurutnya, antara yang menyertai pertemuan itu ialah Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid; Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, Khairul Ridzuan Mat Said; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Perak, Noor Azam Johari dan Pengarah Rela Perak, Kamarul Idzham Kamal.
“Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu, Menteri Besar juga diberikan taklimat ringkas mengenai situasi terkini pelaksanaan PKPD oleh jabatan yang berkenaan.
“Menteri Besar turut menzahirkan penghargaan atas pengorbanan dan semangat setiap warga pasukan keselamatan dalam memikul amanah dan menjadi sandaran masyarakat untuk membendung penularan Covid-19,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri memandang berat keperluan supaya setiap anggota yang bertugas sepanjang PKPD mendapat perlindungan secukupnya termasuk dibekalkan pelindung muka dan kelengkapan kebersihan.
“Menteri Besar menyatakan keyakinan kerajaan negeri terhadap kesungguhan kerjasama seluruh pegawai dan anggota pasukan keselamatan dalam mencapai matlamat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang menampakkan trend membimbangkan kebelakangan ini,” katanya.










